TIADA KRISIS PERLEMBAGAAN JIKA AGONG TOLAK BUBAR PARLIMEN

 

Adakah Krisis Perlembagaan Akan Berlaku Jika Yang di-Pertuan Agong Tolak Permohonan Perdana Menteri Untuk Bubarkan Parlimen?

Jawapannya tidak. Kenapa?

Pertama, jika permohonan Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen ditolak, itu bermakna Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertindak betul berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 40 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu YDPA boleh bertindak menurut budibicaranya tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Kedua, YDPA sebagai Ketua Negara perlu memikirkan kepentingan negara dan Rakyat yang selalu Baginda sebut berulang kali.

Apa kepentingan negara?

Tentu sekali soal Belanjawan Negara tahun 2023 yang akan dibentangkan mengikuti jadualnya pada jam 4 petang Jumaat 7 Oktober 2022.

Bahagian VII Perlembagaan Persekutuan adalah berkenaan Peruntukan Kewangan.

Di bawah Perkara 99(1) Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas bahawa Yang diPertuan Agong hendaklah, berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi Persekutuan untuk tahun itu.

Hal Belanjawaan 2023 adalah Hal Negara, hal kewangan, Hal ekonomi. Ia bukan Perkara main-main. Ia juga bukan Hal politik kepartian atau Hal kepentingan individu.

YDPA tentu sedar bahawa Belanjawan 2023 yang telah disiapkan dengan rapi oleh Kementerian kewangan amat wajar dibentangkan pada 7 Oktober ini, kemudian dibahaskan dan diluluskan dengan Pengundian di Dewan Rakyat.

Jika Parlimen dibubarkan tergesa-gesa dalam sehari dua ini, apa jadi dengan nasib Rang Undang-undang Belanjawaan 2023 tersebut?

YDPA mungkin akan bertanya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengapa tergesa-gesa hendak bubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya sedangkan urusan Belanjawan Negara yang dibuat atas nama Yang diPertuan Agong tidak diselesaikan?

YDPA juga akan memikirkan nasib Rakyat jelata.Perdana Menteri juga boleh ditanya kenapa hendak diadakan pilihanraya dalam musim monson tengkujuh akan melanda Malaysia dengan kemungkinan banjir besar?

YDPA juga tentu menyedari yang mahu sangat pembubaran Parlimen dengan segera sekarang untuk diadakan pilihanraya umum mengejut hanya Parti Umno terutama Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

YDPA mungkin maklum parti-parti politik lain sama ada Pakatan Harapan, PAS, Perikatan Nasional dan lain-lain kecuali Umno semuanya menolak pembubaran Parlimen mengejut dan pilihanraya umum yang tergesa-gesa.

Malah YDPA boleh mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri Ismail Sabri sama ada Jemaah Menteri telah buat keputusan untuk pembubaran Parlimen seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Perdana Menteri mengadap YDPA untuk menasihati Baginda untuk membubarkan Parlimen.

Sebenarnya Umno Dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dari Umno berada dalam keadaan defensif dan lemah untuk memaksakan kehendaknya terhadap Yang diPertuan Agong supaya segera membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya Umum awal.

Jika YDPA tegas memelihara kuasa budibicaranya demi kepentingan negara dan Rakyat maka institusi Raja Berperlembagaan akan dihormati dan dipandang tinggi oleh Rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Rabu 05/10/2022



No comments: