Sepi PAS setelah kata dua UMNO?




 PAS masih berdiam diri berhubung kata dua UMNO yang disampaikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas memberi tiga syarat kepada PAS jika mahu bersama UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) beberapa hari lalu, hari ini Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka memberi kata dua kepada PAS sama ada memilih UMNO atau Perikatan Nasional (PN).

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur Ahmad Zahid berkata, PAS perlu memutuskan hubungan dengan PN jika mahu bersama UMNO.

PAS juga kata beliau sudah diberi tarikh akhir untuk membuat keputusan jika PAS tidak memenuhi syarat ditetapkan UMNO berhak menghadapi PRU mengikut kaedah sendiri – bergerak solo.

“(Namun) jika mereka mahu bersama UMNO dan BN mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka. Kita boleh toleransi kebersamaam jentera hadapi PRU,” katanya.

Sebelum itu tiga syarat yang diberikan oleh Presiden UMNO kepada PAS ialah PAS perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan.

Persoalannya adakah PAS bersedia ‘mengikut telunjuk’ UMNO? Walaupun PAS berkali-kali mengulangi soal penyatuan ummah termasuk yang terbaru hari ini melalui Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun kenyataan Ahmad Zahid membuktikan itu bukanlah persoalan utama.

Apa yang lebih penting bagi UMNO ialah PAS perlu masuk ke gelanggang dengan memilih salah satu pilihan yang diberikan oleh Ahmad Zahid bersama UMNO atau terus bersama PN.

Kata dua yang diberikan oleh Ahmad Zahid sudah tentulah meletakkan PAS dalam dilema. Bagaimanapun PAS harus menyalahkan diri sendiri berikutan tindakan Ahmad Zahid itu.

Presiden UMNO tersebut membuat keputusan yang tepat dengan berbuat demikian kerana bukan kata UMNO malah ramai tertanya-tanya apa sebenarnya pendirian PAS.

Segala kekalutan ini tidak akan berlaku jika PAS terus komited dengan PN kerana mereka adalah anggota rasmi PN. Tetapi PAS dilihat ‘cuba berenang’ di dua kolam dengan menjadikan penyatuan ummah sebagai ‘pelampung’ – itulah persepsi yang wujud.

Walaupun sebagai anggota PN, mereka dilayan dengan begitu baik sekali oleh Bersatu namun PAS masih juga ‘terhengeh-hengeh’ mahu bersama UMNO. Tindakan PAS inilah yang menyebabkan ia mengikis rasa gerun mungkin juga rasa hormat UMNO terhadap PAS sehingga Ahmad Zahid memberi kata dua tersebut.

Oleh itu terserahlah kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada mahu tunduk atau tidak dengan kehendak politik Ahmad Zahid tetapi apa yang pasti jangan sampai ‘jangan dikejar tak dapat, jangan dikendong berciciran’.

Zulkiflee Bakar

Artikel ini pertama kali disiar dalam WartaRakyat pada 4 Oktober 2022. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments: