Buat PRU-15 semasa banjir, PKR akan sumbat pemimpin UMNO masuk penjara

 

ika UMNO membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) secara tergesa-gesa semasa rakyat sedang berdepan kesusahan bencana banjir, PKR berjanji akan menyumbat semua pemimpin mereka ke dalam penjara selepas itu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan mengadakan PRU-15 semasa rakyat bergelut dengan bencana banjir hanya akan menyusahkan rakyat dan sekiranya diteruskan juga beliau memberi amaran pemimpin UMNO terpalit kes mahkamah akan disumbat ke penjara jika mereka memenangi pilihan raya nanti.

“Kalau kamu berani panggil pilihan raya masa banjir, kamu panggil.

“Insyaallah kita sumbat semua dalam penjara lepas kami menang. Kita ada masalah besar. Masalah banjir ni satu hal. Jangan ambil mudah soal banjir,” katanya semasa ceramah mega di Taman Melawati semalam.

Spekulasi mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mnugkin membubarkan Parlimen pada bulan Oktober ini, malah tarikh pembentangan Bajet 2023 juga sudah diawalkan tidak seperti kebiasaan.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak juga sudah dihukum penjara 12 tahun ekoran sabitan kes rasuahnya dalam SRC International Sdn Bhd sebelum ini.

Dalam pada itu, Rafizi membayangkan sekiranya UMNO masih berdegil untuk meneruskan PRU-15 tanpa menghiraukan kesusahan rakyat, berkemungkinan nasib sama menimpa Parti Republikan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 2008 akan berulang kepada mereka.

Rafizi berkata, ini menyebabkan Republikan berpuas hati dengan kejayaan mereka menjelang pemilihan presiden AS 2008.

Bagaimanapun, katanya, mereka lupa tahun terakhir presiden Bush itu menyaksikan selatan Amerika dilanda banjir yang tidak pernah berlaku sebelum itu akibat Taufan Katrina.

“Republikan kalah 2008 masa Obama menang adalah kerana rakyat Amerika ni tengok masa orang susah, tenggelam rumah, kamu dengan kuasa kamu sibuk dengan pilihan raya lalu mereka dihukum.

“Saya nak beritahu kepada rakyat Malaysia, kepada PM Ismail Sabri, kepada orang Umno.

“Lagi lama kamu (UMNO) ratib nak masuk pilihan raya, lagi dekat kita nak masuk tengkujuh, lagi besar peluang PKR untuk menang dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Menurut Rafizi, jika tidak dapat dihalang PRU-15 terus diadakan oleh UMNO, parti perlu menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir dan bukan masanya untuk berpolitik.

“Banjir tak selesai sampai sekarang. Saya akan bagitau (Presiden PKR) Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kalau dia jadi PM ini masa bukan nak berpolitik, ini masa kita gembeleng semua rakyat kita bersedia untuk hadapi yang paling buruk yang kita akan hadapi,” katanya.


No comments: