Kenyataan Istana Negara tak sebut pembubaran Parlimen


Tangkap layar kenyataan media dalam hantaran Facebook di laman Istana Negara.

Istana Negara hari ini (6 Oktober 2022) menjelaskan pertemuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanyalah aktiviti mingguan dengan Perdana Menteri.

Dalam kenyataan hari ini selepas Baginda berkenan menghadap Perdana Menteri, Istana Negara berkata pertemuan itu adalah untuk mesyuarat Pra-Kabinet.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu tidak menyebut langsung mengenai Perdana Menteri memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 45 minit di Istana Negara, petang tadi.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilihat tiba di pintu masuk Istana Negara jam 3.48 petang tadi, sebelum kenderaan Toyota Alphard berwarna putih membawa beliau keluar kira-kira jam 4.45 petang.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengesahkan mesyuarat Kabinet akan diadakan esok (Jumaat), sekali gus memberi petunjuk Parlimen tidak akan dibubarkan pada hari berkenaan.

 

No comments: