Dari Rafizi Ramli 4 Oktober 2022 PEROLEHAN SISTEM MERIAM ARTILERI TENTERA DARAT:

 



Dari Rafizi Ramli

4 Oktober 2022

PEROLEHAN SISTEM MERIAM ARTILERI TENTERA DARAT:

PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN ARAHKAN RUNDINGAN TERUS DENGAN SYARIKAT BERUSIA DUA TAHUN

Belum pun isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) reda, proses perolehan pertahanan negara terus berkecamuk akibat campur tangan pimpinan politik kerajaan yang tidak mengendahkan pandangan dan keputusan pimpinan angkatan tentera.

Salah satu perolehan besar yang menjadi sebutan dan kontroversi terkini ialah pembelian meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) yang melibatkan peruntukan sekitar RM854 juta. SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh Angkatan Tentera Darat dan diukur antaranya dari segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi/pengangkutan.

Saya telah mengkaji kontroversi perolehan ini sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera.

Kementerian Pertahanan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri SPH yang baru melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan amnya.

Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara bahawa pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui umum) dan mendapatkan nilai

terbaik

wang rakyat (agar pembida

terbaik

dilantik).

Walau bagaimana pun, permohonan melaksanakan tender terhad oleh Kementerian Pertahanan ini ditolak oleh Kementerian Kewangan, seperti yang dimaklumkan oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni Mohd Yusoff (bagi pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan:

Saya mengucapkan tahniah kepada penjawat awam seperti Datin Rosni dan kakitangan Kementerian Kewangan yang pintar menyatakan secara tersirat bentuk-bentuk campur tangan yang telah berlaku dalam perolehan meriam artileri ini:

1. Menteri Kewangan menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad, sebaliknya mengarahkan supaya perolehan dianugerahkan terus kepada sebuah syarikat bernama MA Analytics Sdn Bhd pada harga RM853 juta

2. Syarikat MA Analytics Sdn Bhd telah menulis kepada Perdana Menteri untuk merayu mengenai perkara ini dalam satu surat bertarikh 21 April 2022

Saya lampirkan surat dari MA Analytics kepada Perdana Menteri itu yang merakamkan nota arahan Perdana Menteri yang menjadi sandaran keputusan Kementerian Kewangan mengarahkan perolehan berjumlah RM853 juta ini diberikan kepada MA Analytics:

Surat tersebut memohon agar Perdana Menteri campur tangan untuk menyegerakan keputusan permohonan MA Analytics Sdn Bhd untuk dianugerahkan kontrak membekalkan meriam artileri SPH secara rundingan terus.

Perdana Menteri kemudiannya mencatatkan nota arahannya kepada Menteri Kewangan pada 27 April 2022 seperti berikut:

“... YBM MOF, Saya sokong permohonan ini. Sila [......] ambil tindakan segera”

Pada 25 Julai 2022, Kementerian Pertahanan akhirnya terpaksa akur dengan arahan Menteri Kewangan.

Satu Surat Niat (“Letter of Intent”) telah dikeluarkan yang melantik MA Analytics untuk membekalkan sistem meriam artileri SPH secara rundingan terus, walaupun ini bertentangan dengan kehendak dan permohonan Kementerian Pertahanan sebelum itu yang mahu perolehan ini dibuat secara tender terhad (seperti lazimnya).

Saya juga telah menyemak latar belakang syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan membekal dan menyelia sistem meriam artileri SPH berjumlah RM835 juta ini.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa syarikat ini hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan, tanpa rekod dalam industri pertahanan dan pembekalan persenjataan yang sebegini besar.

Saya ingin memulakan siri pendedahan perolehan persenjataan dan pertahanan negara (siri meriam artileri) dengan menanyakan soalan-soalan berikut:

1. Siapa di belakang syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang tiada pengalaman ini sehingga Perdana Menteri sendiri yang memberi arahan agar tender dianugerahkan secara rundingan terus?

2. Kenapa kerajaan UMNO – PAS -BERSATU terus menggadaikan kepentingan pertahanan negara dan kebajikan askar dengan memperjudikan sistem persenjataan di tangan syarikat-syarikat yang tidak ada pengalaman dan rekod seperti MA Analytics Sdn Bhd ini?

Saya akan mendedahkan pelbagai kepincangan lain dalam pembelian meriam artileri SPH ini setiap hari dalam minggu ini dan minggu depan.

Oleh kerana UMNO nampaknya begitu yakin dengan sokongan pengundi Melayu kepada mereka sehingga sanggup memanggil PRU15 semasa banjir, saya ingin lihat berapa banyak lagi sokongan kepada UMNO jatuh merudum apabila mereka berkempen di dalam banjir untuk mempertahankan penyelewengan-penyelewengan sistem pertahanan negara seperti LCS dan meriam artileri SPH ini.

Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/100044561133929/posts/663683315127034/?sfnsn=mo — at Lunas Kulim Malaysia

 

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

PH-BN AKAN JADI GABUNGAN BESAR – ZAHID HAMIDI

  Kerajaan Perpaduan dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini terus menjadi gabungan besar yang tidak akan berakhir ...