Majlis Tertinggi UMNO
dijangka mengadakan mesyuarat khas di Menara Dato Onn malam ini, 10 Oktober
2022, tatkala spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan semakin kencang.
UMNO dijangka mengadakan
mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas malam ini (10 Oktober 2022), tatkala
spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan minggu depan semakin bertiup kencang.
“Malam
ini, akan ada mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO,” lapor MalayMail memetik
sumber ketika dihubungi.
Pertemuan
itu dijangka berlangsung selepas mesyuarat biro politik parti yang juga akan
diadakan pada sebelah malam.
Difahamkan,
mesyuarat itu juga untuk terus memberi tekanan kepada Naib Presiden UMNO yang
juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya terus mengumumkan
pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan
secepat mungkin.
Terdahulu, memetik laporan The
Straits Times (ST) Singapura bahawa cakap-cakap mengenai “post-dated cheque”
daripada Yang di-Pertuan Agong, berleluasa dalam kalangan kumpulan yang setia
kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang percaya bahawa Agong
telah memberitahu Ismail Sabri bahawa terpulang kepada Perdana Menteri bila
untuk mengadakan pilihan raya.
Media
Singapura itu melaporkan mereka difahamkan bahawa UMNO memberi kata dua kepada
Ismail Sabri setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong – “panggil PRU atau hadapi
akibatnya”.
Menurut
ST lagi, masa untuk mengadakan PRU-15 dipantau dengan teliti tatkala Perdana
Menteri dikatakan mengintai kerusi disandang Zahid – yang sekarang ini berdepan
prospek disabitkan kesalahan rasuah terhadap 47 pertuduhan membabitkan Yayasan
Akalbudi yang dijadualkan berakhir pada 10 November.
Sebelum
ini, Ismail Sabri mengalami pelbagai tekanan yang semakin meningkat daripada
partinya sendiri untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin. Bagaimanapun, beliau
masih belum membuat sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen.
Pemimpin
UMNO terlalu yakin bahawa mereka boleh memperoleh mandat besar, memandangkan
keadaan pembangkang tidak menentu serta pengundi yang semakin letih.
Pada
Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk
Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengumumkan penjadualan semula pembentangan
Bajet 2023 dari 28 Oktober kepada 7 Oktober, di tengah-tengah spekulasi
mengenai pilihan raya awal pada masa itu.
Beliau
menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat oleh Ismail Sabri yang menggunakan
kuasanya di bawah Peraturan 11(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Ismail
Sabri tidak memberikan sebarang sebab untuk perubahan tarikh itu, hanya
memberitahu pemberita yang menyoalnya mengenai perkara itu, bahawa adalah
“biasa” untuk berbuat demikian dan memetik duluan oleh perdana menteri kelima
Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Persidangan
Dewan Rakyat pada mulanya dijadualkan berlangsung antara 28 Oktober dan 15
Disember.
Kerajaan
sedia ada mempunyai masa sehingga September tahun depan untuk mengadakan PRU,
tetapi pemimpin UMNO secara lantang mendesak supaya pemilihan diadakan tahun
ini untuk memanfaatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya negeri Johor dan Melaka.
Zahid,
khususnya, telah mengetuai tekanan untuk membubarkan Parlimen, walaupun
mendapat kritikan daripada pembangkang dan parti gabungan kerajaan – Perikatan
Nasional (PN) – yang memberi amaran risiko dihadapi rakyat, terutama banjir,
jika PRU diadakan tahun ini.
Pada
7 Oktober, kerajaan membentangkan Bajet 2023 yang dinanti-nantikan, yang
dilihat secara meluas sebagai bajet pilihan raya.
Menteri
Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan rancangan
perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM372.340 bilion untuk tahun depan,
mengatasi bajet tahun ini sebanyak RM40 bilion.
Kerajaan
Ismail Sabri juga menggandakan perbelanjaan untuk bantuan sosial dan subsidi
daripada hanya 5.2 peratus di bawah Bajet 2022 kepada 11.3 peratus di bawah
perbelanjaan mengurus tahun depan, satu langkah yang sudah dijangka oleh pakar
memandangkan kemungkinan PRU semakin hampir.