Bersatu dibina atas pengkhianatan politik jelik, Umno tolak formula penyatuan ummah PAS


 Presiden Umno Khaled Nordin berkata partinya menolak formula penyatuan ummah dibawa PAS kerana disertai Bersatu.

PETALING JAYA: Bersatu tidak layak menjadi pendukung kesatuan ummah dan perpaduan Melayu kerana dibina melalui sindiket pengkhianatan politik licik dan jelik, kata Khaled Nordin.

Naib Presiden Umno berkata, DNA Bersatu adalah anti-Umno dan ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui Umno.“Bagi Umno, formula PAS untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Kekuatannya adalah “superficial”.

“Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik negara,” katanya di Facebook.

“DNAnya ialah anti Umno dan karakternya adalah khianat.”

Bekas menteri besar Johor itu menegaskan, penyatuan ummah tidak semestinya hanya terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana usaha menggerakkannya dilakukan pada setiap masa, bukan hanya bermusim apabila ia mentadbir nanti.

“Segala perhitungan Umno adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.

“Fokus Umno ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak pasti tidak dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bersatu.

“Kerana sudah menjadi cita-cita Bersatu untuk Umno itu diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.