Blok pembangkang, khususnya PH sering ditempelak oleh kluster WTC UMNO kerana menolak PRU15 diadakan segera.
Kata mereka, pembangkang di mana-mana negara biasanya mahu PRU diadakan awal, tetapi agak pelik dengan pembangkang di negara ini yang ingin sebaliknya iaitu PRU dilambatkan.
Lantas, mereka menuduh ketakutan kepada PRU awal itu adalah kerana takut menerima kekalahan.
“Kalau yakin menang, sudah tentu mereka mahu PRU disegerakan,” demikian antara hujah yang banyak kedengaran dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin kluster WTC UMNO terhadap pembangkang.
Tetapi, jika diteliti, UMNO sebagai parti yang mengetuai kerajaan dan pemimpinnya pula menjadi Perdana Menteri ketika ini, tingkah laku mereka pun dikira pelik juga sebenarnya.
Sebagai parti kerajaan, mereka biasanya tidak mahu PRU segera dan sering melengah-lengahkan tarikh pembubaran Parlimen sehingga ke hujung penggal.
Jadi, tidakkah pelik sebenarnya bila lama UMNO hari-hari mengasak supaya PRU disegerakan?
Dalam hal ini, tindakan UMNO menempelak pembangkang sebenarnya itu tidak ubah seperti kuali menuduh belanga sebagai hodoh kerana berwarna hitam.
Sebab itu, tindakan menteri-menteri PN dan Pas yang tidak senada dengan UMNO dan tidak setuju PRU diadakan pada tahun ini adalah sesuatu yang wajar serta boleh diterima.
Itu barulah perangai yang betul sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Kalau UMNO menuduh blok pembangkang tidak mahu PRU segera kerana takut kalah, kenapa pula UMNO tidak setuju PRU diadakan pada tahun depan?
Kenapa beria-ia mahu PRU diadakan pada tahun ini juga?
Bukankah kerana UMNO juga takut kepada kekalahan?
Jika UMNO yakin mereka adalah parti yang diterima rakyat dan boleh menang, mereka sepatutnya tak kisah bila pun hendak diadakan PRU, tahun ini boleh dan tahun depan pun boleh.
UMNO, terutama Zahid Hamidi, takut kepada apa jika PRU diadakan tahun depan? – ShahbudinHusin 09/10/2022.