Bubar Parlimen untuk selamat OKT 47 kes mahkamah: Faiz Na’aman


 

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (10 Oktober 2022) adalah petanda bahawa semboyan telah dibunyikan bagi mengheret secara paksa rakyat untuk turun mengundi pada musim hujan ribut dan banjir hujung tahun ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata keputusan Ismail Sabri itu adalah terdesak kerana rakyat melihat beliau telah dan sedang menghadapi tekanan daripada kepimpinan UMNO yang didominasi Kluster Mahkamah.

“Keputusan PM itu dilihat sebagai terdesak kerana rakyat melihat beliau telah dan sedang ditekan oleh kepimpinan partinya yang didominasi Kluster Mahkamah.

“Dengan seorang OKT selaku presiden mereka yang mempunyai 47 kes berkait pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan satu yayasan kebajikan.

“Kita tahu bahawa tarikh akhir untuk sesi bela diri Presiden UMNO tersebut untuk 47 kesnya itu adalah hujung November ini, di mana keputusan mahkamah untuk membebas atau menghukumnya adalah pada Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

OKT adalah merujuk kepada istilah Orang Kena Tuduh.

Untuk rekod, Kluster Mahkamah merujuk kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah dihukum oleh mahkamah, selain mereka yang sedang berdepan perbicaraan kerana kesalahan jenayah, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat dan negara.

Setakat ini, pemimpin tertinggi yang telah dipenjarakan ialah bekas Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga didapati bersalah berhubung kes rasuah dan kini menunggu proses rayuan.

Sementara, Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula bakal mengetahui nasibnya pada Disember ini, setelah diperintah membela diri terhadap tuduhan rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Faiz berkata UMNO dan BN juga berusaha menggantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara sebagai helah Kluster Mahkamah untuk membebaskan diri mereka daripada dibicarakan dan dihukum.

“Tanpa rakan politik untuk semak imbang dan memantau di Putrajaya sepertimana BN telah mendominasi Kerajaan Pusat sejak merdeka hingga jatuh korup, maka tidak hairanlah puak ini menolak, malah mengencam seruan ke arah perpaduan ummah oleh PAS dan penyatuan nasional oleh Bersatu.

“BN lupa siapa yang memberi nyawa dan oksigen untuk mereka bernafas kembali dalam pejabat pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya setelah kecundang ditolak majoriti rakyat dalam PRU-14 lalu.

“Mereka tidak insaf dek kerana para pemimpin yang angkuh dan koruplah maka parti keramat mereka itu makin dibenci oleh orang Melayu sendiri terutama generasi muda sekarang,” katanya lagi.

 

No comments: