Puaka dari masa silam Malaysia: Kehidupan baru buat Malaysia saat Najib ke penjara. SIRI 1

 





Ia sebuah detik katarsis bagi negara saatnya rakyat terkesima dapat melihat Najib dihantar ke penjara


BY ANIL  NETTO


Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi selepas empat tahun yang cukup melelahkan secara emosi, akhirnya igauan ini berakhir.

Saat saya menulis ini, sejurus selepas keputusan diumumkan, hujan rintik turun di Pulau Pinang tempat saya tinggal, membasahi seakan menyucikan negara ini.

Di seluruh negara, kedengaran nafas lega dan puas dilepaskan. Ramai yang tidak percaya bagaimana Najib Razak, bangsawan bermulut manis dari keluarga Razak Hussein, yang cukup bergaya memakai sut Armani, akhirnya menuju ke penjara.

Perdana menteri Malaysia yang pertama ke penjara. Siapa yang dapat mempercayainya? Ada yang menyebutnya sama seperti apa yang berlaku di Korea Selatan.

Hantu dari masa lampau

Tidak kiralah anda mempercaya hantu atau tidak, memang ada ‘hantu’ dari masa lampau yang berterusan menghantui negara kita.

Pernah seketika, kartunis tersohor Zunar melukis lakaran roh wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, yang bergentayangan di langit Putrajaya.

Ingati juga beberapa yang lain turut dibunuh dalam keadaan penuh misteri tanpa adanya penjelasan yang kukuh – bankir Hussain Ahmad Najadi, pendakwa raya Kevin Morais dan jauh pada 1980-an dulu, auditor bank Jalil Ibrahim.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Make a regular pledge or auto-donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Pembunuhan mereka sungguh mengejutkan negara. Mereka yang disyaki kemudian ditahan. Namun dalam kebanyakan kes ini, seperti ada perkara lain selain daripada pembunuhan semata-mata.

Mangsa yang terakhir, Jalil, jika beliau masih hidup hari ini, akan memberitahu kita bagaimana rasuah di Malaysia mempunyai kisah yang panjang. Saya pertama kali mendapat tahu tentang rasuah dalam skala besar-besaran ketika terdengar sanak-saudara di Petaling Jaya membicarakannya dalam nada berbisik melibatkan skandal BMF sebanyak RM2.5bn di Hong Kong.

Juruaudit Jalil dihantar ke Hong Kong pada 1983 bagi siasatan – untuk beliau kemudiannya dibunuh saat sedang mencari bukti, tubuhnya kemudian dibuang ke kebun pisang.

Pastinya, rasuah sudah wujud di Malaysia jauh sebelum itu. Pada 1970an, bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris dihukum bersalah kerana menipu bank dan dijatuhkan hukum enam tahun penjara. Jumlah yang terlibat? RM7.9 juta.

Jumlah yang terlibat dikira kecil jika dibandingkan dengan jumlah pada hari ini. Skandal BMF mengejutkan negara kerana ia merupakan kes rasuah melibatkan berbilion ringgit yang pertama. Ia menunjukkan bagaimana jauhnya kita menjadi sebuah negara kleptokrasi saatnya jumlah RM2.5bn dalam skandal BMF hari ini sedikit pun tidak mengejutkan kita semua.

Sekarang kita mempunyai sekurangnya RM20bn yang didakwa dicuri dari 1MDB. Skandal lain pula adalah melibatkan sekitar RM6bn yang dibayar bagi kontrak enam kapal tempur, yang sehingga kini tidak disiapkan.

Barangkali masih ada yang lain. Bayangkan berbilion jumlah yang lain yang sekarang disembunyi di bank pesisir di luar negara dan akaun bank rahsia atau wang yang digelapkan melalui pembelian hartanah di luar negara.

Ketika waktu Mahathir, kapitalisme kroni di peringkat elit semakin memuncak. Jangan dilupakan kontroversi penjaminan keluar beberapa bank serta syarikat besar yang rapat dengan Mahathir ketika itu.

Serta juga penswastaan perkhidmatan awam kepada kroni, sanak-saudara serta pendukung parti, serta kebangkitan syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan tanpa ketelusan.

Segalanya bermula ketika Dr Mahathir Mohamad melancarkan polisi Malaysia Incorporated-nya pada 1981. Ideanya adalah supaya sektor awam dan swasta swasta bekerjasama sebagai sebuah Syarikat Malaysia. Namun cara fikir korporat turut meresap masuk, sekali gus mempengaruhi polisi penswastaan ala Thatcher di Malaysia dua tahun kemudiannya.

READ MORE:  Federal Court’s dismissal of NFCorp’s defamation suit against Rafizi Ramli a crucial judgment

 

Penswastaan paling kontroversi adalah melibatkan operasi Tenaga Nasional diswastakan ke syarikat-syarikat penjana tenaga swasta, yang memberikan keuntungan besar untuk syarikat tersebut manakala beban ditanggung oleh Tenaga. Penswastaan ini sekali gus mendapat tentangan hebat dari pengerusi eksekutif Tenaga Nasional Ani Arope yang dianggap wira oleh ramai orang kerana bertegas dengan keputusannya saat melihat bagaimana berat sebelah syarat yang dikenakan kepada Tenaga Nasional.

Masalahnya dengan Malaysia Inc – iaitu, merasakan negara seperti sebuah syarikat – sekali gus merentap jiwa bangsa dalam prosesnya itu. Kejayaan hanyalah diukur dalam soal ringgit dan sen.

Jadi, berbanding memperbaiki perkhidmatan awam seperti hospital awam serta sekolah, fokusnya beralih kepada pelancongan perubatan yang 

digerakkan keuntungan, sekolah antarabangsa bagi kelas menengah atas, dan hospital swasta bagi mereka yang mampu. Ahli politik dan keluarga akan menghurung institusi sebegini manakala rakyat marhaen terpaksa berebut menggunakan sekolah awam yang diabaikan, hospital awam yang tidak cukup kakitangan serta sesak serta pengangkutan awam yang tidak cekap.

Ada benda lain juga yang berlaku.

Projek mega yang merancak

Ia tidak mengambil masa yang panjang bagi Mahathir dan pengikutnya untuk bermewahan dengan projek infrastruktur mega dari lebuhraya ke lapangan terbang sampailah ke empangan mega.

Beberapa projek ini memang diperlukan, namun apa yang dikhuatirkan adalah bagaimana projek mega lainnya itu diada-adakan sekadar mahu memberi kontrak besar kepada kroni korporat berbanding kepentingan awam. Cuba telusuri kisah bagaimana Empangan Bakun dan projek empangan mega lainnya itu – dan bagaimana ia kemudiannya diberikan kepada syarikat kroni saatnya Orang Asal yang tinggal di kawasan empangan itu kemudiannya dipindahkan.

Semakin ramai pemimpin politik, hatta di peringkat negeri, bergantung kepada idea projek mega, yang kononnya dijalankan bagi kepentingan rakyat. Seringkali, ia diberikan kepada syarikat kroni melalui rundingan dan jika pun ada tender, bagaimana kita tahu semuanya dilakukan tanpa penyelewengan?


BERSAMBUNG KE SIRI KE 2