KEPUTUSAN HAKIM TIDAK BOLEH DIRAMAL.


SHAMSUDIN NAWAWI


Dua tiga hari ini hebuh kononnya keputusan Hakim dibocorkan. Terkini dalam kes Kak Mah.

Hakim ini buat keputusan dia pertimbang semua sudut dan cadangan. Kalau bahasa mudahnya dia tengok semua apa cadangan pihak2. Pihak Pendakwaan mesti lah cadangkan OKT bersalah. Pihak Pembelaan pula cadangkan OKT tidak bersalah. Apabila mahkamah Malaysia ini sudah jadi modern, Hakim ada research officers. Mereka ini juga bantu hakim dengan mencadangkan samada OKT bersalah atau tidak.

Keputusan terakhirnya pada hakim. Hakim boleh pilih nak ikut dan bersetuju dengan Pendakwaan atau Pembelaan atau Research offiders atau timbang semua itu dan buat keputusan dia sendiri.

Pada saya, kalau cadangan2 itu bocor, itu belum tentu keputusan hakim lagi.

Zaman dulu, hakim atau majistret lagi unpredictable. Memang tak boleh agak apa keputusan beliau.

Ini cerita zaman dulu, zaman tahun 1980an. Zaman hamba tua ini jadi majistret. Ada satu kes hamba Allah ini dituduh sebab tiada lesen Radio & TV. Dia mengaku salah. Dalam rayuan sebelum jatuh hukum dia kata dia orang susah, tak ada duit, kerja kampung dll. Minta hukuman ringan lah.

Saya suruh dia kosongkan isi poket dia dan letak atas meja. Dalam poket dia ada $15 sahaja. Saya tanya dia dari mana. Dia kata dari Kg X (macam Miss X lah tak boleh dedah nama). Datang mahkamah naik apa? Naik bas dia jawab.

Baik, kalau naik teksi berapa tambang? $5 dia jawab. Dah makan belum? Belum dia jawab.

OK....habis kes ini pergi makan. Itu $5. Balik nanti naik teksi. Itu $5. Jadi saya denda Encik $5.

Ewah....senyum lebar dia.

Esoknya ada banyak lagi kes tak ada lesen Radio & TV. Pagi itu saya masuk toilet lepaskan hajat. Dalam baik punya hajat itu, saya dengar orang bercakap di luar toilet itu. Alah toilet itu sebelah pintu masuk ke ke pejabat mahkamah itu saja.

Dengar lah suara staff mahkamah berborak dgn orang lain. Encik apa kes? Saya kes lesen TV. Encik berapa wang bawak? Ada $250. Encik kasi sorok itu wang, taruk poket $5 sahaja. Apa pasal dia tanya pulak staff itu. Itu Tuan nanti mesti suruh Encik keluar semua wang dalam poket. Kalau Encik ada $5, denda kurang lah. Oh itu macam ye....Ok ok ok....saya sorok.

Jelas sangat komplotnya. Tapi saya puji lah staff itu dia nak tolong orang. Bagus tu.

Bila naik mahkamah macam biasa lah. Hari itu saya tukar mood. Buat muka ketat pulak. Tak ada senyum2. Tak ada suruh kosongkan poket dah. Kali ini standard saja fine nya. Tak ada Lesen Radio $30. Tak ada lesen Radio & TV ikut lah. TV hitam putih $50, TV Colour $100.

Ada lagi satu kes tangkap main judi. Fuhhh kemain mamat ni datang mahkamah pakai songkok. Ingat kita kesian lah. Nope! Kena dia denda $500 hari itu. Yang tak pakai songkok $400.

Paling klasik ada hamba Allah Orang Asli. Polis charge dia dari tak ada IC, bawak motor tak ada lesen, tak ada insuran, tak ada lampu belakang, tak ada brake, tak ada cermin pandang belakang, tak ada no. plet, tak ada signal kiri kanan. Segala macam lah.

Bila kes dia dipanggil, nama dia dia disebut Ngah saja. IC tak ada...mana ada nama ikut IC. Dalam hati saya, apa lah polis ni. Lepaskan saja lah. Motor itu jalan dalam kampung jer pun...kg orang asli. Agaknya hari itu dia lepas ke jalan besar entah apa lah hal dia.

Bila dipanggil ke depan, dia terus duduk. Nampak kerusi terus dia duduk. Jurubahasa kata...Ngah...bangun! Nanti Tuan marah. Dia jawabnya "Haissshhh saya tak takut. Rimau di hutan pun saya tak takut..."

Kalau bukan dalam mahkamah....mengelupor dah rasanya gelak.

Bila tanya mengaku salah ke tidak. Tentu lah dia jawab, terserah lah. Kalau salah salah lah. Saya mana tau.

Ini semua kerja membazir kalau bicara bagai. Saya pun beri amaran dan lepaskan untuk semua pertuduhan. Bila kes dah habis, dia boleh tanya pulak. "Saya ini nak balik macam mana? Tadi datang polis yang bawak. Takkan lah saya balik seorang pulak!"

Mak aiii....

Saya pun keluar perintah. Polis sila hantar dia balik! Naik land rover lah dia balik agaknya...

Moral of the story, justice can also be served and be seen to be served with a sense of humour!