SEMENTARA TERUS DITEKAN UMNO DALAM KES NAJIB, ISMAIL SABRI SEBALIKNYA SEMAKIN DITERIMA BAIK DI MATA RAKYAT

 

Selain hakim, khususnya Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang banyak dikritik serta dipersalahkan oleh kelompok tertentu dalam UMNO susulan pemenjaraan Najib Razak, tidak terkecuali menerima beban yang sama ialah Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau dipersalahkan secara merata kerana tidak mahu campurtangan dan menyelamatkan Najib daripada dipenjarakan.

Sebaik saja Najib menerima hukumannya dan sehinggalah ke hari ini, malah dalam perhimpunan di WTCKL petang ini, itulah sentimen yang kedengaran dan dijangka terus berpanjangan.

Bertitik tolak kerana marah kerana tidak mahu campurtangan itu, Ismail Sabri turut ditekan untuk menyegerakan PRU15 supaya semua pesalah yang kini sedang dibicarakan lebih mungkin dapat diselamatkan.

Mereka yang membela Najib itu seolah-olah lupa dengan fakta dan keterangan yang diberikan di dalam mahkamah tentang wang RM42 juta yang masuk ke akaun peribadinya dan bagaimana wang tersebut telah dibelanjakannya dengan sesuka hati.

Yang dipersalahkan akhirnya ialah Ismail Sabri kerana tidak mahu campurtangan manakala Najib yang menerima wang dan membelanjalannya seperinya tidak bersalah sama sekali.

Kegilaan apakah ini?

Daripada satu segi, dengan tindakan berterusan menyalahkan Perdana Menteri kerana tidak mahu campurtangan itu, mereka secara tidak sedar telah mengakui Najib telah melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang.

Jika tidak, untuk apa minta Perdana Menteri campurtangan?






Begitu pun, daripada sudut yang lain. pendirian Ismail Sabri tidak mahu campurtangan dan membiarkan sistem pemisahan kuasa berjalan dengan seadanya di negara ini telah membuatkan nama beliau semakin diterima baik serta dihormati.

Rakyat biasa, mereka yang menghormati undang-undang dan tidak taksub keterlaluan kepada individu tertentu, secara umumnya menerima baik sikap serta pendirian tidak mahu campurtangan itu.

Ini sekaligus sebenarnya menjadikan nama Malaysia yang sedang dipimpinnya mulai beransur-ansur pulih daripada kerosakan di mata dunia akibat rasuah serta skandal mega, terutamanya 1MDB yang memalukan itu.

Bayangkan apa jadi kepada nama negara di mata rakyat Malaysia sendiri dan juga dunia jika Perdana Menteri didapati campurtangan dalam kes “straightforwwad” seperti SRC International itu?

Ismail Sabri sendiri pastinya ketika ini sedang diserang bertalu-talu daripada pelbagai sudut yang akhirya perkara itu bukan saja menjadikan dirinya tidak lagi dipandang elok, bahkan nama negara lebih membusuk jadinya.

Berkongsi pendirian yang sama ialah bekas Ahli Parlimen Jerantut, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang turut memuji Ismail Sabri kerana berjaya kekal tidak mahu campurtangan di sebalik tekanan dan asakan daripada kelompok tertentu UMNO makin menghimpitnya.

Kata beliau, dengan kekalnya hukuman kepada Najib dalam kes SRC Intenational sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, negara kini akan lebih dihormati serta dipandang elok di mata dunia.

“Saya juga percaya keadaan negara, khususnya perkembangan ekonomi akan beransur-ansur menjadi lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Tengku Azlan turut memuji hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang dianggapnya tegas serta berpegang kepada fakta dalam membuat keputusan.

Meski begitu, apa yang berlaku kepada Najib itu hanyalah permulaan kepada perjalanan yang panjang untuk memulihkan imej dan prestasi negara.

Jika lebih banyak pesalah rasuah VIP menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan semasa berkuasa, sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia sebelum ini, negara kita juga mampu melangkah dengan lebih gagah serta dihormati lagi.

Itulah harapan kita, mudah-mudahan dengan permulaan kes Najib ini dan ketegasan kepada dunia bahawa tiada campurtangan dalam sistem kehakiman, adalah langkah yang dapat menjanjikan masa depan lebih baik kepada semua. – ShahbudinHusin 27/08/2022.



No comments: