DESAKAN PRU15 SEGERA SUDAH TIDAK BERMAKNA

 

Sama ada wujud atau tidak ugutan dan kata dua kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Biro Politik UMNO dua hari lalu, ia tidak mengubah hakikat bahawa parti itu memang mahu PRU15 disegerakan.

Untuk itu, tak perlulah sebenarnya pihak ibu pejabat UMNO atau pemimpin yang diketahui rapat dengan Zahid Hamidi beria-ia membuat penafian atau mahu menyaman portal berita yang menyiarkan spekulasi itu.

Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok tiba-tiba bergoyang?

Lagi pun, dalam banyak medan perbualan dengan orang UMNO di pelbagai medium sejak semalam lagi, itulah perkara yang sedang hangat diperbualkan.

Jadi, takkan tiada sedikit kebenaran dalam laporan yang disiarkan itu?

Yang disiar dan terdedah mungkin tak sepenuhnya benar, tapi isu pentingnya ialah keinginan mahu kepada PRU15 segera tetap ada di kepala Presideen UMNO dan ia adalah fakta yang tidak boleh disembunyikan lagi.

Pokoknya, kenapa tak habis-habis mahu PRU segera?

Apakah PRU15 segera kerana mahu membela nasib Najib Razak atau demi kepentingan mereka yang sedang berdepan perbicaraan?

Dalam hal berkaitan, tidak bolehkah diberi kebebasan dan ruang secukupnya kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentu dan memilih waktu yang sesuai untuk menghadap Agong bagi pembubaran Parlimen?

Kenapa perlu beliau ditekan, diasak dan didesak sepanjang masa?

Sebenarnya, dalam keadaan Najib sudah ada di penjara sekarang ini, sudah tidak relevan lagi untuk Zahid Hamidi dan UMNO terus menuntut atau bercakap tentang PRU segera.

Ia sudah tidak sesuai lagi kerana lihat saja di dada pelbagai medium media sosial ketika ini, rata-rata warga maya sedang merai dan memanjat kesyukuran atas perginya Najib ke penjara, sesuai dengan fakta kesalahan yang telah dilakukannya.

Tidak ternampak ada simpati yang melimpah kepada Najib dan UMNO berikutan apa yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dengan demikian, jika PRU disegerakan, ditambah kalau Zahid Hamidi masih bertanding lagi, apa jaminan rakyat akan memberi sokongan kepada BN?

Di ketika ini, apa yang perlu Zahid Hamidi lakukan, khususnya setelah episod Najib telah menemui titik klimaksnya, ialah segera berhenti daripada terus bercakap atau mendesak Perdana Menteri agar membubarkan Parlimen.

Tak perlulah asyik panggil Ketua UMNO Bahagian, adakan perjumpaan, mesyuarat dan sebagainya tanpa henti seolah-olah tiada kerja lain yang lebih mustahak yang boleh dilakukan.

Dalam keadaan rakyat tengah susah dan sedang berdepan pelbagai masalah, yang mereka mahukan bukanlah diajak ke pusat pengundian, tapi jaminan makanan atau pekerjaan.

Kalau benar UMNO merupakan sebuah parti perjuangan yang faham erti kesusahan, waktu inilah Zahid Hamidi harus berhenti bercakap soal pilihan raya atau kuasa, sebaliknya membawa parti sepenuhnya bersama-sama dengan kerajaan menumpu perhatian menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dalam kehidupan.

PRU segera atau dicepatkan, pada tanggapan ramai orang, tidak lain hanyalah untuk menyelamatkan tengkuk dan mengelak nasib Najib daripada menimpa diri sendiri.

Tak usahlah berpura-pura lagi, tengok perjalanan kes yang sedang berjalan saja dengan mudah semua orang dapat memahaminya. – ShahbudinHusin 26/08/2022.



No comments: