PH gugat institusi Raja: Pas tiada isu, main sentimen Melayu menjelang PRU 15


 Pas tidak putus putus melakukan fitnah dan memainkan isu perkauman menyerang Pakatan Harapan (PH) dengan hujah yang tidak boleh dibuktikan.


Sehubungan itu, Biro Mobilisasi AMANAH Nasional hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Pas Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin yang mendakwa sepanjang pemerintahan 22 bulan PH banyak perkara buruk berlaku.


Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Mohd Sany Hamzan berkata, Pas perlu membuktikan setiap tuduhan mereka dalam isu institusi Raja, agama dan Ketuanan Melayu yang mereka bangkitkan.


"Hari ini kita membuat laporan polis kepada Ketua Penerangan Pas, yang terang terangan melakukan satu fitnah yang sangat jahat dan tidak bertanggungjawab, menyatakan dalam pemerintahan 22 bulan PH, banyak perkara yang tidak baik yang menggugat institusi Raja, agama dan Ketuanan Melayu


"Saya mencabar Ketua Penerangan Pas, sila kemukakan bukti yang jelas kenyataan tidak bertanggungjawab kamu itu. Saya rasa ini merupakan kenyataan yang sangat biadap dan tidak bertanggungjawab yang dilakukan kepimpinan Pas pusat kepada kepimpinan PH


"Minggu lalu kita buat laporan polis khusus kepada Presiden Pas yang berkata PH kalau memerintah akan merungkai soal berkaitan Perlembagaan negara, isu agama Islam, isu orang Melayu, isu bahasa.


"PH sudah memerintah di Selangor hampir 15 tahun. Kita lihat orang Melayu ada di Selangor, instiusi raja ada di Selangor, institusi agama Islam ada di Selangor, kita gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar," katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, pagi tadi.


Tambah ADUN Taman Templer itu, PH tidak mengganggu gugat bangsa lain di negeri yang ditadbir mereka, khususnya Selangor


Sebaliknya Pas yang mempunyai slogan politik matang, sejahtera, fakta lawan fakta tidak sepatutnya bergelumang dalam politik fitnah.


Beliau juga tidak puas hati dengan dakwaan Presden Pas Hj Hadi Awang bahawa rasuah di negara ini dilakukan bukan Islam dan bukan bumiputera.


"Kita nak tanya kepada kepimpinan Pas yang rasuah kes NFC, kes 1MDB, LCS semua ini dilakukan oleh kepimpinan Melayu dan BN.


"Umno sudah mati, Pas yang memberikan nyawa dan tongkat untuk Umno BN untuk hidup semula.


"Dulu Pas lawan Umno setiap hari, sekarang ini Pas bersama Umno. Umno BN tidak pernah berubah tetapi yang berubah ialah pimpinan Pas yang ada hari ini. Mereka telah bersama Bersatu, Azmin Ali, Zuraida. Merekalah yang membentuk kerajaan tiada mandat dari rakyat," katanya.


Sany menyeru agar rakyat membuka fikiran terhadap taktik Pas untuk memecahkan sokongan terhadap PH, dengan memainkan sentimen perkauman dan orang Melayu untuk mengundi PH dalam PRU yang akan datang.

No comments: