MAKLUMAT GRED A MEMAKLUMKAN CUMA 73, BUKAN 158 KETUA UMNO BAHAGIAN HADIR PERJUMPAAN SEMALAM


 Sebagaimana dilaporkan semalam, banyak media yang menyebut seramai 158 Ketua UMNO Bahagian hadir dalam perjumpaan mengejut di WTCKL yang digerakkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Kutipan angka 158 itu bagaimanapun jika diimbas kembali, adalah daripada makluman yang disebut oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos kepada media yang menemubualnya.

Sehingga ke pagi tadi, termasuk artikel saya yang terdahulu, angka 158 itulah yang dianggap sebagai jumlah kehadiran yang rasmi.

Tetapi, angka 158 itu sebenarnya tidak benar dan bohong sama sekali.

Ini berdasarkan maklumat Gred A yang sangat boleh dipercayai yang sampai kepada saya sebelum tengahari tadi.

Maklumat itu memaklumkan hanya 73 orang Ketua UMNO Bahagian saja yang hadir dalam perjumpaan dengan Presiden UMNO di WTCKL semalam.

Daripada 73 orang itu pula, 50 orang saja hadir pada perjumpaan sebelah pagi yang bermula jam 11.00 pagi sebelum itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Zahid Hamidi pergi ke mahkamah.

Seramai 23 Ketua Bahagian lagi hadir pada sebelah petang setelah Zahid Hamidi kembali daripada perbicaraan di mahkamah.

Oleh kerana jumlah UMNO bahagian seluruh negara ialah 191, dengan 73 Ketua Bahagian saja yang hadir, ia bermakna daripada segi peratusan kehadirannya cuma merangkumi 38.2 peratus.

38.2 peratus juga bererti tidak sampai separuh Ketua UMNO Bahagian yang hadir.

Dalam perjumpaan itu turut tiada kata sepakat berjaya diputuskan yang menyetujui agar pilihan raya diadakan dengan segera.

Sekali lagi, maklumat berkenaan kononnya majoriti Ketua-Ketua Bahagian setuju PRU15 diadakan dengan segera adalah semata-mata bersandarkan kenyataan Jamal kepada media.

Ramai Ketua UMNO Bahagian yang hadir sebenarnya tidak tahu dan tidak diberitahu tujuan sebenar perjumpaan itu lantaran jemputan dilakukan pada jam 11.15 malam hari Ahad.

Pada hakikatnya, selain hanya 38.2 peratus saja Ketua UMNO Bahagian yang hadir, tiada persetujuan majoriti diperolehi untuk mendesak agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar membubarkan Parlimen dengan segera.

Makna kata, baik dari segi kehadiran dan persetujuan untuk mendesak PRU15 diadakan dengan segera, kedua-duanya gagal memperolehi keputusan majoriti.

Lebih mudah lagi nak faham, tiada majoriti bermakna kalah dan tidak laku sama sekali desakan tersebut. – ShahbudinHusin 23/08/2022.



No comments: