DALAM KEADAAN NAJIB KIAN HAMPIR KE PENJARA, ADALAH TIDAK BERBUDI BAHASA ZAHID HAMIDI TERUS PAKSA PM ADAKAN PRU15 SEGERA

 

Pertemuan mengejut melibatkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di WTCKL semalam yang digerakkan oleh Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan untuk terus memaksa PRU15 diadakan segera, akhirnya tidak dihadiri oleh Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna Perdana Menteri tidak berasa terkejut dengan jemputan secara mengejut yang kononnya ada sesuatu yang segera serta mustahak untuk dibincangkan.

Selain Ismail Sabri, turut tidak hadir dalam pertemuan yang dikatakan dihadiri oleh seramai 158 daripada 191 Ketua Bahagian itu ialah seorang lagi Naib Presiden UMNO, Mahadzir Khalid.

Berdasarkan maklumat yang diterima, apa yang didakwa sebagai pertemuan segera dan mustahak itu tidak lain hanyalah untuk mendesak agar Ismail Sabri membubarkan Parlimen dengan segera, di samping angka sebenar Ketua Bahagian yang hadir cumalah sekitar 70 orang saja.

Angka 158 sebaliknya hanya disebut oleh salah seorang Ketua UMNO Bahagian, Jamal Md Yunos.

Sudah banyak kali desakannya tidak jalan, kali ini beliau nampaknya mahu mendapat mandat daripada Ketua-Ketua UMNO Bahagian, bukan saja agar desakan itu diteruskan, bahkan mungkin disusuli dengan usul dalam persidangan tahunan cawangan yang sedang berlangsung sekarang, diikuti usul dalam mesyuarat perwakilan bahagian kemudiannya.

Berdasarkan sudah banyak kali desakan serupa dilakukan, malah dua hari pun Zahid Hamidi turut bercakap tentang pilihan raya awal, pertemuan semalam itu sebenarnya tiada apa-apa yang luar biasa.

Ia tidak lebih menyerlahkan keterdesakan Presiden UMNO itu yang mahu agar pilihan raya diadakan serapa segera yang boleh.

Mungkin juga Zahid Hamidi cuba mengambil kesempatan dalam kedudukan Najib yang semakin hampir diputuskan nasibnya oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendesak PRU tetap disegerakan.

Namun, dengan ketidakhadiran Ismail Sabri dalam pertemuan semalam, desakan itu boleh dikata gagal dan tidak mencapai matlamatnya.

Berikutan itu, dalam pertemuan beberapa pemimpin UMNO di Seri Perdana malam tadi, Zahid Hamidi pula memutuskan tidak menghadirinya.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan diberitakan mengetuai sekumpulan pemimpin UMNO hadir dalam pertemuan tersebut.

Akhrinya, dengan Perdana Menteri tidak hadir di perjumpaan anjuran Presiden UMNO dan kemudian Presiden UMNO pula tidak hadir di pertemuan di kediaman Perdana Menteri, tiada apa kejutan bakal berlaku dalam waktu terdekat ini.

Begitu pun, dalam keadaan Perdana Menteri sudah menjawab desakan Zahid Hamidi dua hari lalu dengan mengatakan banyak isu perlu diselesailan terlebih dahulu seperti isu LCS misalnya sebelum Parlimen hendak dibubarkan dan di waktu yang sama, Najib Razak sedang berdepan saat-saat genting di mana pintu penjara kian terbuka buatnya, tindakan beliau menganjurkan pertemuan mengejut di WTCKL itu adalah tidak kena sama sekali.

Zahid Hamidi sepatutnya bertenang dahulu serta beristighfar banyak-banyak dan menunjukkan solidariti yang sesuci hati kepada Najib terlebih dahulu di hari-hari akhir penentuan hidupnya.

Bukankah beliau sendiri yang mahukan solidariti daripada UMNO diberikan kepada Najib?

Tetapi, dengan terus mendesak PRU15 diadakan seberapa segera di waktu Najib dalam kegentingan menuju laluan kehidupan, apakah desakan itu kerana petunjuk sebuah solidariti atau untuk kepentingan masa depannya sendiri?

Selain itu, sebagai Presiden UMNO juga, Zahid Hamidi harus sedar, tugas beliau ialah mengurus parti dan menentukan parti sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Soal bila masa untuk membubarkan Parlimen adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri memilih waktu yang sesuai untuk menasihati Agong berkenaan dengannya.

Mendesak Perdana Menteri berkali-kali untuk menyegerakan pilihan raya bukanlah kerja atau peranan seorang Presiden UMNO.

Harus ada sedikit hormat dan berbudi bahasa kepada Perdana Menteri yang merupakan ketua kerajaan yang disokong oleh UMNO sendiri.

Kalau Presiden UMNO sendiri tiada hormat dan tidak berbudi bahasa kepada Perdana Menteri, bagaimana Ismail Sabri sebagai “poster boy” mahu disokong dalam PRU15?

Lagi pula, selain mengambil kira persiapan parti, Perdana Menteri tentunya turut diberikan pelbagai laporan mengenai kedudukan UMNO dan kerajaan, boleh menang atau tidak jika PRU diadakan waktu ini, daripada sekian banyak badan perisikan yang ada.

Dengan itu, bila waktu untuk membubarkan Parlimen bukan boleh dibuat berdasarkan desakan semata-mata, tetapi penelitian yang mana Perdana Menteri lebih mengetahuinya berbanding Presiden UMNO.

Akhir kalam dan kepada Zahid Hamidi, cukup-cukuplah mendesak dan cuba membuat pertemuan mengejut yang sebenarnya tiada kejutan tidak ada sesiapa pun terkejut dengannya. – ShahbudinHusin 23/08/2022.



No comments: