Rayuan SRC: Muhammad Shafee tampil pada saat akhir mohon penangguhan, namun ditolak mahkamah

 

irdaus Azil

Rayuan SRC: Muhammad Shafee tampil pada saat akhir mohon penangguhan, namun ditolak mahkamah
Panel hakim menolak permohonan Hisyam Teh yang menjemput Muhammad Shafee kembali bersama pasukan pembelaan. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Cubaan pada minit terakhir pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan permohonan mengecualikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu telah ditolak panel lima hakim.
Terdahulu, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik berkata, beliau menjemput Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk kembali bersama pasukan pembelaan, bagi berhujah mengenai permohonan tersebut.
Hisyam memohon penangguhan sekurang-kurangnya 10 minit untuk peguam veteran itu sampai, bagaimanapun, permohonan beliau ditolak panel lima hakim.
Terdahulu, Hisyam berkata, pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan pada malam Isnin untuk Tengku Maimun menggugurkan diri daripada perbicaraan.
Berdasarkan afidavit Najib, permohonan itu dibuat atas alasan suami Tengku Maimun, iaitu Zamani Ibrahim telah membuat catatan di Facebook tentang kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas.
Najib berkata, beliau khuatir hubungan suami isteri antara Tengku Maimun dan Zamani, akan membuatkan Ketua Hakim Negara itu prejudis terhadap rayuannya berhubung sabitan Mahkamah Tinggi pada 2020.
“Oleh kerana beliau merupakan suami terhadap pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, adalah berkemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya,” menurut afidavit itu lagi.
Selanjutnya, Najib berkata, beliau khuatir sekiranya wujud sifat prejudis memandangkan beberapa permohonan beliau sebelum ini, termasuk memasukkan bukti baharu tentang Hakim Bicara Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, rayuan penangguhan perbicaraan, serta rayuan mendapat khidmat Peguam Kanan United Kingdom, Jonathan Laidlaw telah ditolak.
Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Tengku Maimun seolah-olah tiada bantahan terhadap program ‘Walk of Justice’ anjuran Badan Peguam untuk menentang sebarang siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Muhammad Shafee kemudian memohon mahkamah untuk penangguhan sehingga pagi Rabu atas alasan beliau dijemput pembelaan pada saat-saat terakhir untuk membentangkan hujah mengenai usul pengecualian itu.
Katanya lagi, atas sebab jemputan minit terakhir itu, beliau terpaksa meninggalkan program di Parlimen, sambil menambah beliau langsung tidak berkesempatan untuk memakai pakaian yang sesuai untuk mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (ad hoc), Datuk V Sithambaram berhujahba bahawa permohonan itu berniat jahat (mala fide) dan satu lagi taktik pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan.
Muhammad Shafee, bagaimanapun, memohon jasa baik panel hakim untuk membenarkan beliau membuat persediaan atas alasan integriti kehakiman perlu dijaga sebaik mungkin.
“Itu terpulang kepada anda Tan Sri (Muhammad Shafee) untuk kembali semula ke sini esok pagi. Jika kita teruskan hari ni juga, mungkin prosiding ini dapat diselesaikan pada hari ini dan anda tidak perlu kembali ke mahkamah. Malah tiada siapa pun perlu kembali ke mahkamah,” tegas Tengku Maimun lagi.
Untuk itu, Muhammad Shafee tiada pilihan lain selain meninggalkan mahkamah bagi meneruskan program di Parlimen dan Hisyam juga tiada pilihan lain selain meneruskan hujahan tentang permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun daripada prosiding.

No comments: