Pengekalan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak merupakan bukti kuasa rakyat mampu mengubah landskap politik negara dan menghumban ahli politik korup ke penjara.
Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil berkata, pemenjaraan Najib mulai hari ini adalah pengajaran kepada ahi politik pemerintah bahawa sebarang korupsi yang mereka lakukan akan menerima padah apabila rakyat bertindak.
"Hari ini menjadi bukti penat lelah mereka yang berkorban untuk membongkar skandal maha besar sebelum ini akhirnya sampai ke penghujung.
"Iktibar untuk semua pemimpin, jangan kita sesekali beranggapan rakyat tidak berkuasa dan rakyat tidak mampu untuk bawa perubahan. Hari ini menjadi bukti bahawa (Pilihan Raya Umum) 2018 adalah tahun yang bermakna," katanya kepada Suara Keadilan.
Bagaimanapun, Fahmi berkata keadilan dan penghukuman tidak boleh hanya terhenti kepada Najib. Banyak lagi tokoh politik yang dibelit kes korupsi perlu diadili seadil adilnya dan dipenjarakan sekiranya bersalah.
Katanya, keadilan perlu ditegakkan demi membela maruah rakyat yang dinjak injak penguasa zalim yang selama ini tidak sedar mereka boleh dijatuhkan.
"Ia tidak (sepatutnya) terhenti di sini, kita perlu terus berjuang untuk memastikan yang bersalah dihukum dan martabat rakyat dipertahan," katanya lagi.
Mulai malam ini Najib akan dipenjarakan untuk tempoh 12 tahun bagi menyelesaikan tempoh hukumannya setelah 5 hakim Mahkamah Persekutuan petang tadi sebulat suara menolak rayuannya.
Najib juga didenda RM210 juta di atas kesalahan menggunakan wang SRC International Sdn Bhd secara tidak sah ketika beliau memegang kuasa sebagai Perdana Menteri.