Kenyataan Media Bersama mantan Menteri
Pertahanan Mohamad Sabu dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong
pada 8 Ogos 2022
Segera nyahklasifikasikan tiga dokumen
penting bagi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS)
Projek LCS menjadi perhatian selepas laporan
PAC berkenaan skandal tersebut diterbit dan dibentangkan di Parlimen pada hari
Khamis (4 Ogos) yang lalu.
Kami menyeru agar Menteri Pertahanan Datuk
Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan membuat keputusan di mesyuarat kabinet
pada hari Rabu ini untuk nyahklasifikasikan dokumen-dokumen penting berikut
supaya seluruh rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal LCS dan
kami dapat bersama mencari jalan penyelesaian.
Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini,
banyak soalan akan kekal tidak terjawab.
Pertama, kami menyokong cadangan PAC untuk
nyahklasifikasikan “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second
Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS)
Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia” terbitan
Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK)
yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang. Laporan ini mempunyai maklumat
kewangan yang tidak termasuk dalam laporan PAC.
JKSTUPKK ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan
Harapan pada 30 Mei 2018 di atas gesaan Menteri Pertahanan pada masa itu,
Mohamad Sabu.
Dokumen kedua yang perlu dinyahklasifikasikan
adalah laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead
Naval Shipyard (BNS). Pengauditan ini dilaksanakan oleh firma audit Alliance
IFA.
Laporan pengauditan forensik ini amat penting
kerana mempunyai butiran tentang pihak yang bertanggungjawab di peringkat
operasi projek.
Ketiga, nyahklasifikasikan 10 pucuk surat
yang ditulis oleh mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dato' Sri Dr.
Abdul Aziz bin Jaafar yang memegang jawatan tersebut dari 1 April 2008 hingga
17 November 2015.
Berikut adalah kenyataan Dr. Aziz semasa
prosiding PAC:
“Kerana daripada awal lagi saya telah menegur
tatacara perolehan. Daripada awal lagi. Saya telah menegur tatacara perolehan,
saya kata, “Something is gravely wrong”. So, saya tidak mengeluarkan kenyataan-
kenyataan ini di luar tapi ini adalah peluang terbaik saya untuk memaklumkan
bahawa I have registered my greatest disappointment to everyone that was supposed
to be listening to me.”
“Despite all the letters, despite seeing
personal presentation to all those sama ada KSU, Yang Berhormat Menteri, KSN,
KSP dan juga Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, we were fighting a losing
battle.” (PAC Report, Point 5.1.1 C iii, pages 19-21)
Kami amat kecewa melihat teguran dan amaran
beliau tidak dilayan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak
yang juga merupakan Menteri Kewangan, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi.
Untuk mendapatkan jalan keluar bagi skandal
LCS yang melibatkan berbilion ringgit, kabinet Malaysia perlu segera
nyahklasifikasikan dokumen-dokumen ini.
Mohamad Sabu
Mantan Menteri Pertahanan
Liew Chin Tong
Mantan Timbalan Menteri Pertahanan