Najib tak boleh cuci tangan skandal LCS, kata Rafizi




Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli (Kiri) berkata Najib Razak satu-satunya pemimpin politik yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal itu.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak boleh “cuci tangan” dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS), kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, hal ini kerana Najib merupakan perdana menteri ketika kerajaan menandatangani perjanjian bagi projek LCS bersama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011 serta merupakan satu-satunya pihak yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal tersebut daripada keperluan tentera laut.

Dalam kenyataan hari ini, beliau mendakwa keputusan bagi menukar reka bentuk kapal tersebut daripada apa yang dikehendaki pihak tentera laut dikaitkan dengan Kumpulan Naval, syarikat Perancis yang sebelum ini dikenali DCNS.

DCNS merupakan sub-kontraktor bagi projek LCS. Syarikat yang sama turut menjual dua kapal Scorpene milik Malaysia pada 2002.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Rafizi turut mendakwa beliau memiliki dokumen dibocorkan kepadanya yang memberikan gambaran bahawa perjanjian tersebut telah “dimuktamadkan lebih awal” sebelum kerajaan menandatangani perjanjian dengan BNS.

Merujuk kepada dokumen dimaksudkan, beliau membayangkan menteri yang terlibat dan BNS mengetepikan pandangan pihak tentera laut melibatkan reka bentuk LCS yang memungkinkan wujudnya campur tangan politik dalam perolehan kapal tersebut.

“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

“Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak,” kata Rafizi.

Rafizi berkata, Najib lebih berkuasa berbanding menteri pertahanan dan Najib sendiri sewaktu menjadi menteri pertahanan pernah memilih DCNS bagi perolehan kapal selam (Scorpene).

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS.

Wong berkata, tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas itu berkata, pihak yang terlibat dalam salah laku ini akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan kes itu.

No comments: