HATI HATI BERCAKAP WAHAI PEMIMPIN PH- JANGAN SYOK SENDIRI

 


JAMZURI ARDANI




BN, PN, GTA ... semua berebut untuk dapatkan undi Melayu konservatif.

Hanya PH boleh menjadi pilihan pengundi Melayu progresif. Tetapi golongan pengundi Melayu progresif tidak ramai ... hanya sekitar 15 -20% sahaja. Kebanyakan mereka tinggal di bandar-bandar besar dan Lembah Kelang.

Apa yang PH perlu lakukan ialah membantu golongan Melayu progresif melebarkan pengkalan sokongan dan pengaruh di kalangan masyarakat Melayu.

1. DAP perlu segera berhenti membuat kenyataan atau mengambil tindakan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat Melayu. Kalau tidak, selangkah Amanah dan PKR menapak ke depan, dengan satu kenyataan provokasi dari DAP sahaja terpaksa undur balik dua langkah ke belakang. Sampai bila pun golongan progresif Melayu sukar untuk melebarkan pengaruhnya.

2. Golongan progresif Melayu perlu bijak menangani permainan sentimen 'fear factor' yang sentiasa menjadi modal politik pemimpin ultra nasionalis, ekstrimis, dan konservatif Melayu. Jangan mudah terperangkap dengan provokasi dan permainan sentimen golongan ultra konservatif Melayu. Kenyataan YB Hanipa Maidin berkenaan Oktoberfest baru-baru ini adalah satu contoh bagaimana golongan progresif Melayu terperangkap dengan permainan pihak lawan. Mungkin ianya boleh dipertahankan dari sudut hujah, tetapi masyarakat Melayu secara umumnya lebih tertarik dengan permainan sentimen berbanding rasionalisasi hujah.

3. Golongan Melayu progresif ketinggalan dari sudut 'infrastruktur sosial' bagi melebarkan pemikiran dan pengaruh di kalangan masyarakat luar bandar. Tiada NGO yang berktrampilan, tiada institusi yang dapat dikuasai, dan tiada media yang bercapaian luas sehingga mampu sampai ke masyarakat luar bandar. Ini perlu diperbaiki segera.