Dari Rafizi Ramli
8 Ogos 2022
BNS DAPAT DOKUMEN SEBUTHARGA DARI DCNS
SEBELUM SURAT LANTIKAN (LOA) KERAJAAN MALAYSIA
Sebahagian besar dari masalah-masalah yang
menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari
dua keputusan utama:
1. Penukaran reka bentuk kapal dari kelas
Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi
diluluskan Menteri Pertahanan)
2. Pelantikan kontraktor dan perincian
kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLDM
Isu penukaran reka bentuk kapal dari Sigma
kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara
(PAC).
Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan
pada ketika itu (Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada
mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka
bentuk Sigma.
Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11
Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan
cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk
Sigma.
Apa pentingnya pertukaran reka bentuk dari
jenis Sigma kepada Gowind ini?
TLDM memilih Sigma demi keperluan dan
kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan
lebih moden berbanding kelas Gowind. Apabila Zahid Hamidi menukar reka bentuk
kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati
kehendak dan perancangan TLDM.
Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan
Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih,
melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind
yang melibatkan kepakaran dari Perancis.
Dari sinilah kita dapat menyelami punca
sebenar berlakunya skandal ini.
Ada pihak berkepentingan yang mahukan
sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina
kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.
Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing
lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang
dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan
perbekalan kapal selam Scorpene.
Lebih teruk lagi, dokumen-dokumen dalaman BNS
yang dibocorkan kepada saya turut mengandungi dokumen berikut:
1. Sebutharga dari DCNS bernombor
10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010
2. Sebutharga dari DCNS bernombor
11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011
3. Surat Niat (“Letter of Intent”) dari DCNS
bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011
Tarikh-tarikh sebutharga dari DCNS (sebagai
sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama Kerajaan Malaysia) adalah
sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.
Surat Lantikan (“Letter of Award”) dari
Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai
kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011. Ini
bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai
rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar
sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor
utama.
Satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy
Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS,
telah membuat kesimpulan berikut:
“.. It is unusual to have a DCNS quotation
dated 23 December 2010 even before the LOA was signed by BNS with the
(Government of Malaysia) GOM/MINDEF. This indicated that the deal was
pre-determined between the vendor and certain vested persons at BHIC/BNS who
were at the helm of the decision-making process. The history of DCNS and its
unethical practices to bribe Malaysians during the deal is well documented
which were filed in the Court by the investigative agencies at France after
conducting searches at DCNS & Thales office.”
“.. Adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun
ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan
dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak
ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak
berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan
amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak
pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah
pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.”
Saya yakin rakyat Malaysia bersetuju dengan
saya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak
mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan
menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang
ditolak TLDM.
Melihatkan kepada keputusan Menteri
Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari
memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur
tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.
Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa
bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan
dalam skandal ini.
Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai
kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama
mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah
Najib Razak.
Pertama, beliau lebih berkuasa dari Menteri
Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk
kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.
Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang
memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar
negara. Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga
mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal
anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak
ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun
2012 dan boleh dibaca di sini:
https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/
Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan
menjawab persoalan-persoalan ini.
Pada masa yang sama, saya akan terus
mendedahkan pelbagai penyelewengan yang telah berlaku sehingga menyebabkan
tidak ada satu kapal pun yang disiapkan setakat ini.
RAFIZI RAMLI