BALASAN KEPADA MEREKA YANG MEMUNGKIRI JANJI-HASSAN KARIM




Parti Bersatu yang mengepalai Perikatan Nasional (PN) "marah-marah" kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana mungkir janji untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Parti Bersatu.

Ismail Sabri respon semalam tentang ugutan Bersatu dengan berkata bahawa jika PN tarik sokongan maka Kerajaan akan tumbang dan sebagai Perdana Menteri beliau akan menasihati Yang diPertuan Agong supaya Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Pandai Ismail Sabri bersilat dengan mematikan langkah dan gerak Parti Bersatu.

Jika PRU15 diadakan segera kerana terpaksa akibat ugutan dan tindakan Parti Bersatu tarik sokongan, maka Parti Bersatu menerima Dua tiga kesan langsung.

Pertama Rakyat marah.Kedua Parti Bersatu dilihat melanggar amanat Yang diPertuan Agong supaya ada kestabilan politik.Ini membawa kemurkaan di pihak Istana.

Ketiga, jika PRU15 diadakan sekarang maka Umno pimpinan Zahid Hamid dan de facto leader "Bossku" Najib Razak dari kluster Mahkamah yang dimusuhi Bersatu yang mendapat untung dan laba.

Parti Bersatu yang diketuai tiga serangkai sekarang iaitu Muhyidin Yasin, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin eloklah bermuhasabah dan menginsafi diri tentang untung nasib Parti Bersatu sekarang.

Bidalan Melayu ada berkata: "Mengata dulang paku serpeh; Mengata orang aku yang lebih".

Muhyidin,Azmin dan Hamzah Mengata Perdana Menteri Ismail Sabri melupai janji.

Soalan perlu dikemukakan kepada 3 serangkai pemimpin Parti Bersatu itu.

Tidakkah dulu ada janji PH di mana Parti Bersatu ada di dalamnya berjanji Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri sementara iaitu dua tahun dan selepas itu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Anwar Ibrahim?

Muhyidin yang jadi Presiden Parti Bersatu ketika itu berusaha menggagalkan perjanjian itu dan berjaya akhirnya dengan Langkah Sheraton di mana Muhyidin Yasin pula yang jadi Perdana Menteri ke-8, bukannya Anwar Ibrahim.

Begitu juga Azmin Ali.Tidakkah dia semasa PH berkuasa dan Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh berhujah keras dan berusaha untuk gagalkan Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir dengan berkempen supaya Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga penuh penggal Parlimen ke-14, bukannya sekadar dua tahun?

Tetapi akhirnya dengan Langkah Sheraton, Tidakkah Azmin yang membawa 10 orang Ahli Parlimen Parti Keadilan meninggalkan Keadilan dan PH sehingga Kerajaan PH tumbang. Tidakkah janji kepada Anwar Ibrahim dikhianati?

Begitu juga Hamzah Zainudin bersekongkol dengan Mahathir mengadakan Perhimpunan Melayu pada tahun 2019 sebagai satu usaha menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri dari Mahathir kepada Anwar Ibrahim?

Jadi apa moralnya yang ada pada Muhyidin, Azmin dan Hamzah menuntut janji daripada Perdana Menteri Ismail Sabri sedangkan tiga serangkai pemimpin Parti Bersatu itu pernah MEMUNGKIRI JANJI mereka kepada Anwar Ibrahim, parti -parti dalam PH dan Rakyat yang menyokong PH dalam PRU14 lalu yang inginkan perubahan dan reformasi.

Inilah balasan bagi mereka yang MEMUNGKIRI JANJI.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

7 Ogos 2022