MOHD ZAIDI MOHD ZABRI
'𝗖𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝟭𝗠𝗗𝗕 𝗗𝗮𝗵 𝗕𝗮𝘀𝗶': 𝗦𝗮𝘁𝘂 𝗨𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Kurang lebih seminggu sudah, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat)
mendakwa bahawa isu 1MDB sudah basi.
Pertamanya, sebagai seorang ahli akademik yang tidak menyertai
mana-mana parti politik, saya amat meminati citra berpolitikan (politicking)
Tok Mat.
Terutama sekali bagaimana beliau sangat menjaga Negeri Sembilan
sebagai seorang Menteri Besar selama 14 tahun (2004-2018). Di bawah pentadbiran
beliau juga, Negeri Sembilan muncul sebagai satu-satunya negeri yang melunaskan
hutang secara tunai kepada Kerajaan Pusat dan peningkatan simpanan (reserve)
yang baik.
Namun begitu, bercakap mengenai perihal hutang 1MDB ini, saya
memohon untuk berbeza pendapat dengan Tok Mat.
Sebagai seorang pensyarah yang mengajar subjek Pasaran dan
Instrumen Modal Islam (Islamic Capital Market and Instruments), saya sering
menggunakan 1MDB sebagai salah satu daripada kajian kes (case study) terutama
sekali dalam bab sukuk (Islamic bonds).
Tak mengapalah. That's besides the point.
Untuk menyanggah premis Tok Mat, mari kita gunakan permainan
yang saya namakan sebagai "the what-if game."
Bagaimana kiranya wang 1MDB itu digunakan untuk tujuan lain?
Khususnya bagi belanjawan pembangunan (development expenditure). Pembinaan
hospital misalnya.
Kita gunakan contoh pembinaan Hospital Pasir Gudang yang
dijangkakan siap pada 2024 dan bakal menelan kos sebanyak RM472.5 juta. Dan
kita ambil kira jugalah kos lebihan (cost overrun) sebanyak 5% (I'm being very
generous here). Jumlahnya besarnya ialah RM496.14 juta. Kita bundarkan
sahajalah jumlahnya menjadi RM500 juta.
Setakat awal 2022, hutang 1MDB berjumlah RM38.81 bilion.
Sekiranya kita bahagikan RM38.81 bilion ini dengan RM0.5 bilion
untuk pembinaan sebuah hospital misalnya, kita boleh membina sebanyak 77 buah
hospital, tuan-tuan.
Tuan-tuan tak mahukan hospital baharu? Baiklah. Kita naikkan
taraf hospital sedia ada. Siapa-siapa yang pernah merasai pengalaman dimasukkan
ke wad hospital kerajaan bakal faham akan peri pentingnya kita menaik taraf
hospital-hospital lama kita. Baik dari segi infrastruktur, teknologi maklumat,
bilangan katil dan bermacam lagi.
Bangunan baharu di Hospital Segamat misalnya bakal menelan
belanja sebanyak RM90.5 juta. Kita bundarkan sahajalah menjadi RM100 juta
dengan mengambil kira cost overrun.
Hutang 1MDB sebanyak RM38.81 bilion itu misalnya dapat menambah
sebanyak 388 bangunan hospital baharu di Malaysia ini. Bersamaan dengan 27 buah
bangunan baharu bagi setiap hospital di Malaysia.
Okay, kita aplikasikan permainan "what-if" ini dengan
menggunakan contoh sekolah pula. Kos bagi pembinaan sebuah sekolah rendah
misalnya, kurang lebih berjumlah RM20 juta. Jika hutang 1MDB dibahagikan dengan
RM20 juta, kita boleh membina sebanyak 1,940 buah sekolah baharu, tuan-tuan.
Makna kata, dengan hutang 1MDB, kita boleh membina sebanyak 138 sekolah baharu
bagi setiap negeri di Malaysia ini, tuan-tuan.
I can go on and on and on, actually.
Tapi, pokoknya, sebagai seorang pensyarah kewangan, isu 1MDB
masih lagi malar segar. Sekurang-kurangnya sehingga tahun 2039 (tahun matangnya
sukuk 1MDB).
Namun begitu, akan ada juga soalan seperti berikut,
"Takkanlah 1MDB langsung tiada aset yang boleh dijual untuk membayar
hutangnya?"
Jawapan pendeknya, "ya, 1MDB memang beraset."
Menurut YAB Menyeri Kewangan, setakat 30 Jun lalu, jumlah dana
pemulihan aset 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah sebanyak RM19.28
bilion.
Kendatipun begitu, dana itu sebanyak RM10.84 bilion sudah
digunakan untuk tujuan pelunasan hutang 1MDB.
Pendek kata, kita kena faham betapa hutang 1MDB ini merupakan
satu hutang yang tak diperlukan. Unproductive and absolutely unnecessary debts.
Other than to line up Jho Low and you know who's pockets. Kerana pokok
pangkalnya, kita sudah punya Khazanah sebagai sovereign wealth fund bagi
negara.
Untuk memahami bagaimana liciknya modus operandi 1MDB, saya
sarankan kalian membaca buku Billion Dollar Whale. Ingat, membaca jambatan
ilmu. Tak membaca pula membawa kepada jambatan kejahilan.
Barangsiapa
yang suruh saya lukiskan mengenai kira-kira di atas, saya doakan dia caj
handphone tetapi suisnya tak dihidupkan.