Lelaki ditemui mati dalam McLaren


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Anggota bomba membantu mengeluarkan lelaki yang meninggal dunia dalam kereta mewah di Jalan Pudu, petang tadi. (Gambar Bomba)

PETALING JAYA: Misteri sebuah kereta mewah tersadai berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu terjawab apabila seorang lelaki ditemui mati di dalam kenderaan itu, petang tadi.

Kejadian itu disedari orang awam selepas mendapati lelaki berusia 28 tahun itu tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Najilan Che Pa berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 6.03 petang sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta mewah model McLaren diparkir berhadapan pusat hiburan berkenaan dan terdapat mangsa seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota kemudian bertindak membuka pintu kereta berkenaan menggunakan alatan khas. Sebaik berjaya dibuka, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya yang dipetik Berita Harian berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini.

“Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kita juga turut sedang menyiasat bagaimanakah kereta yang dinaiki si mati berada di hadapan pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999.


No comments: