Keputusan tidak rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 telah pun diumumkan.
Diharapkan seusai pemilihan KEADILAN akan bertaut semula untuk perjuangan yang
lebih besar menggempur BN - PN dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Namun dalam perjalanan untuk menguasai Kerajaan Persekutuan itu,
KEADILAN seharusnya tidak membawa budaya pasca pemilihan 2018 apabila yang
menang mendapat semua dan yang kalah dibiar teraba raba.
Bagi calon Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, masanya KEADILAN
merobah tantanan kepimpinan parti dengan menggembleng semua bakat yang ada
tidak kira menang atau tewas untuk diberi peranan memperkasakan parti bagi sesi
2022 - 2025.
"Tahniah kepada semua yang berjaya dan memikul amanah di
peringkat Cabang dan Pusat.
"Kepada yang tidak menang juga punya kekuatan dan tahniah
kerana partisipasi dalam proses demokrasi ini.
"Dalam masa yang sama, dalam merangkul kekuatan menghadapi
PRU15, semua kekuatan yang menang dan yang tewas mestilah digembleng bersama
sama ada dalam struktur parti di Cabang maupun peringkat Pusat," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pula, beliau
mengharapkan beberapa kaedah berkempen dinilai semula terutama kepada calon
yang tidak menggunakan sistem cai.
"Ada ruang yang perlu diperkemaskan dalam pemilihan dan
proses pembaikan perlu secara terus menerus dilakukan.
"Keseluruhannya tahniah JPP dan seluruh yang menjayakan
proses demokrasi KEADILAN," katanya.
Mustaffa juga mengucapkan penghargaan kepada para penyokong yang
setia bersama beliau dalam kempen pemilihan.
"Secara khusus jutaan terima kasih bagi yang sama-sama
membantu kempen VP#10 MKA," katanya lagi.