Keadilan kembali ke landas reformasi - ANALISA PEMILIHAN PKR

 

BAHAGIAN 3

 

3. Kemenangan Rafizi dan calon-calon relatif berusia dibawah 50 tahun menunjukkan anggota parti itu memberi petunjuk bahawa ahli mahukan perubahan dalam parti berkenaan. Mereka mahu darah baru dalam parti. Tenaga lama yang sudah lebih dua dekad berjuang untuk melakukan reformasi dan mengangkat Anwar sebagai PM, mungkin sudah tidak sesuai dan berkeupayaan lagi. Perubahan ini dikira perlu berubah segera juga kerana mengambil kira kehadiran pengundi muda 18 tahun yang mana kebanyakan mereka tidak lagi bernostalgia dan hafal dengan irama dan dendangan lagu lama dimainkan parti itu. 

4. Yang penting, apa yang tertunjuk dan digambarkan dalam pembentukan pemimpin Keadilan untuk tahun 2022 - 2025 itu adalah anggota dan ahli Keadilan mahu meletakkan parti itu di atas landasan asalnya sebagai parti marhean. Mereka mahukan api reformasi terus ditiupkan dan tidak mudah malap dan tergoda dengan tawaran dan kedudukan. Mereka tetap mahu menjadikan Keadilan sebagai parti rakyat yang insaf dan sedar akan denyut nadi rakyat.

Peluang menjadi kerajaan 22 bulan mungkin dilihat sudah melencung sedikit parti berkenaan dari landasannya, juteru mereka drastik melakukan perubahan. Inilah barang kali ada yang menyifatkan Keadilan ketika sepanjang tempoh itu tidak begitu mesra rakyat dan pemimpinannya lebih kepada berlagak dan berbulan madu dengan kemenangan. Peluang menjadi kerajaan tidak diambil mendekati rakyat tetapi lebih menunjuk lagak kepada rakyat.  

Tribulasi politik dihadapi Keadilan dalam kerajaan PH, dan sikap yang ditunjuk presiden yang terus menghitung dan mencari angka untuk jadi PM juga, menyebabkan ahli kecewa dan menuntut perubahan agar parti sedar, Kegagalan mengenapkan angka secara perundingan menyebabkan ahli naik muak. Jadi apabila ada seseorang membangkitkan hal itu dan menawarkan satu menu baru, maka menu lama itu dilupakan dan sang pembangkit itu tentulah dipuja.

Apa yang mereka istilahkan politik berunding, ia adalah bukan politik gentlemen. Perundingan sangat tidak begitu digemari oleh generasi muda yang berjiwa agresif dan memberontak. Ini hakikat yang berlaku namun tidak disedari sesetengah pemimpin menyebabkan akhirnya mereka terpaksa disanggah. Kekalahan Saifuddin dan beberapa rakan sebaya dan sefiil dengannya adalah disebabkan fenomena ini.

Seemangnya anak muda dan generasi muda berjiwa mereka memberontak mahukan politik gentleman  lawan secara bersendiri tanpa meminjam dan berlindung serta menumpang kasih kepada mana-mana pihak untuk berkuasa. Slogan atau tagline lawan tetap lawan akan dipatuhi selamanya tanpa mengira musim dalam pengertian dan tindakan yang diambilnya. 

5. Konotasi lain yang dapat dilihat daripada proses dan kesan pemilihan itu, dan ini penting, bahawa wujud sikap dalam Keadilan, mereka tidak lagi meletak dan menjadikan Anwar Ibrahim bapa reformasi itu sebagai jamur yang terus bernyala dan dinyalakan untuk mecahayakan Keadilan. Walaupun kem Saifuddin Nasution menjaja kesetiaan kepada pemimpin sebagai modal kempen, tetapi ia tidak menjadi tarikan buat generasi baru dalam Keadilan. Kerana itu mereka tetap juga mengangkat pemimpin yang digambarkan sebagai suka mengambil pendekatan perang.

Bagi generasi muda mereka mengira sudah perlu diadakan pengganti Anwar yang akan menjadi jamur dan obor baharu yang lebih bersemangat dan kompeten untuk masa setahun dua lagi. Lantaran itu dijangka sekiranya Keadilan gagal meletakkan Anwar sebagai PM selepas Piraum ke-15 nanti, ketika itu Rafizi akan diberi laluan dan mengambil alih untuk memimpin Keadilan sepenuhnya. 

Bagaimana pun, walaupun ketara semangat dan generasi baharu untuk diberikan peluang memimpin Keadilan dan roh reformasi, tokoh-tokoh lama lama yang banyak berjasa dan orang yang menyuburkan parti itu sehingga seperti hari ini, jangan dilupakan begitu sahaja. Anak muda dan generasi baru perlu ada sedikit diplomasi dan memahami seni politik. Tanggungjawab mendidik mereka ini terletak sepenuhnya ditangan Rafizi selaku timbalan presiden nanti. Orang tua atau pemimpin lama walaupun sudah lemau ideanya tetapi kudratnya masih boleh juga boleh digunakan mungkin untuk hambat ayam di lesong atau menepis lipas di celah tikar. 

Melihat kepada trend pemilihan yang berlaku kali ini dengan meletakkan Rafizi sebagai orang nombor dua, parti itu sedang mempersiapkan Rafizi sebagai pemimpin Keadilan masa depan. Rafizi pula perlu berhati-hati agar tidak terlebih syok. Memetik sepatah kata-katanya sendiri ketika mengulas kemenangannya; "Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka."

Barisan kata-kata itu hendaklah difahami sebaik-baiknya oleh Rafizi. Kalau beliau sendiri juga terlupa dengan apa yang diucapkan itu kerana terlalu seronok dengan jawatan timbalan presiden, apa lagi kalau Anwar pula memberi tugas dan tanggungjawab, sementara gagal pula merealisasikan apa diiltizamkan beliau akhirnya terpaksa menelan kata-kata yang beliau lafaskan itu. Jika beliau lalai, gagal melaksanakan apa diturutkan, beliau juga nanti akan dicabut mandat itu. [wm.kl.7:39 pm 30/05/2022]

 

No comments: