KEMENANGAN MUTLAK BELUM LAGI

 Pemilihan Kepimpinan Dalam PKR.


KEMENANGAN MUTLAK BELUM LAGI


Proses pemilihan kepimpinan dalam PKR sudah hampir selesai. Tunggu pengumuman rasmi daripada JPP sahaja lagi untuk mengesahkan calon-calon yang menang.


Untuk jawatan timbalan presiden, Rafizi Ramli menempati ramalan berdasarkan populariti. Bekas ahli Parlimen Pandan itu menang mengatasi ahli Parlimen Kulim Bandar - Baru, Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti lebih 10,000 undi. Satu pencapaian dan kemenangan yang jelas ditunjukkan oleh ahli parti itu.


Sementara untuk jawatan naib presiden pula, daripada 17 calon bertanding, empat telah mendapat undi tertinggi.  Mereka Amiruddin Shaari, Chang Lan Kang, Nik Nazmi Ahmad, dan Aminuddin Harun. Kemenangan Amiruddin dan Aminuddin, kedua-duanya adalah MB Selangor dan Negeri Sembilan seperti sudah dijangkan awal. 


Ada trend pemilihan dalam PKR kali ini calon-calon yang berkedudukan (berjawatan) lebih diberi perhatian. Apakah mereka mempunyai bukan sahaja populariti, tetapi juga kerana mempunyai kemudahan logistik untuk berkempen. Manakala calon yang "agah" dan "hidung tinggi" dan berlagak selepas bergelar wakil rakyat atau memegang jawatan semasa PH memerintah 22 bulan, kalah dan diketepikan. Mereka kalah bukan kerana kurang bakat kepimpinan dan idea memimpin, tetapi kerana tidak mesra alam atau bersikap kacang lupa kulit atau monyer dapat bunga. 


Bagi Ketua Wanita Keadilan, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail menewaskan generasi baru dalam Keadilan, Fadhlina Siddek. Sememangnya Rodziah menang memandangkan kepada pengalamannya dan pengaruhnya meluas dakan Keadilan khasnya wanita. Penampilan syaksiah Islami, akdemi dan professional bukan syarat untuk mendapat sokongan. 

Menarik adalah untuk jawatan naib ketua Wanita, kesemua dimenangi oleh calon bukan Melayu, Wasanthee a/p Simasamy, Jun Leon Hisad Hoi dan Sangetha Jayakumar. Serangkai calon Melayu kalah atau tidak mendapat undi mencukupi. 


Kemenangan ketiga mereka ini memberi isyarat, sekaligus menyerlahkan penyertaan bukan Melayu dalam Keadilan menonjol dan serius. Apakah Wanita Keadilan benar-benar mahu menunjukkan kepada Malaysia bahawa Keadilan sebuah parti multi racial yang bersemangat Malaysia.

Sementara untuk jawatan Ketua Angkatan Muda pula, khabarnya dimenang Adam Adli. Kalau Adam menang ia menyerlahkan bahawa anak muda atau generasi baru mahu kepada seorang pemimpin yang berani menongkah arus. 

Melihat kepada mereka yang menang, dimana rata-rata generasi kedua dalam Keadilan, berusia di bawah 50 tahun, memberi gambaran bahawa parti itu sedang bergerak ke depan dengan wacana dan agenda yang perlahan-lahan meninggalkan motto perjuangan lalu. Persalinan kepimpinan dalam PKR kian jelas. Reformasi yang menjadi slogan keramat sebelum ini, bakal diganti dengan susana baru dalam Keadilan. Kerencaman politik yang cuba dipraktikan Keadilan menerusi kepimpinan dahulu, tampaknya tidak laku dan generasi muda mahukan kepada politik yang terbuka dan sedia mengenepikan diplomasi politik. 


Aspirasi dan cita-cita politik generasi baru akan mengambil alih, acuan reformasi yang dibentuk selama ini. Perjuangan berdasarkan keramat insan seorang tokoh juga sudah kian mengecut. 


Barang kali sudah tepat dan munasabah memandangkan acuan itu sudah tidak relevan dengan perkembangan politik masa kini. Penyertaan undi 18, yang akan pertama kali menyaksikan penglibatan mereka dalam Piraum ke-15 akan memberi jawaban, apakah "Ayuh Malaysia" yang dilaungkan oleh Rafizi itu tersambut atau pun ia hanya gelora dan ilusi generasi muda nan penuh ghairah dalam Keadilan sahaja, yang kecewa dengan bentuk dan stail politik dipandu pemimpin awal Refromasi sebelum ini yang mana natijahnya tidak ke mana pun?


Kemenangan calon generasi muda khasnya kemenangan Rafizi nampaknya diterima dan dialu-alukan dengan penuh bersemangat. Melihat kepada celeberate kepada kemenangan Rafizi mengenepikan Saifuddin sekaligus menolak pesan dan mesej Anwar sendiri dan ia disambut laksana suatu kemenangan dalam pilihan raya. 


Tunggu, kemenangan Rafizi itu bukan kemenangan mutlak sebuah perjuangan parti bernama Keadilan apa lagi bertujuan untuk mengangkat Anwar sebagai PM. Apa dinanti-nantikan dan diharapkan adalah kemenangan dalam pilihan raya dan seterusnya menobatkan Anwar sebagai perdana menteri. Itu hakikat kemenangan. Kalau kemenangan Rafizin itu tidak membawa kemenangan besar kepada Keadilan, ia tidak membawa apa-apa erti, khususnya buat tokoh yang didambakan Anwar Ibrahim. 


Mungkin Keadilan berubah wajah, berubah semangat dan menyediakan medan perang lebih luas dalam arena politik negara ini di masa akan datang, dimana dengan penyediaan medan itu menjadikan Keadilaan di persimpangan, menang atau pun kalah. Yang tidak diharapkan menang menjadi arang, kalah menjadi debu. Kehebatan Rafizi yang dikagumi itu akan diukur kepada pencapaian dalam pilihan raya umum kelak. Horas. 


Trims.


MSO II