Pemilihan parti 2022: Kepimpinan wanita akan diperkasakan - Wanita KEADILAN



 

Pemilihan KEADILAN 2022 akan memastikan kepimpinan wanita lebih perkasa daripada sebelumnya.

Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina, hal berkenaan selari dengan perlembagaan parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak serta penggerak masyarakat, mengupayakan wanita mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan membuat keputusan dengan sekurang kurangnya penglibatan tiga puluh peratus.

Katanya, KEADILAN akan merealisiasikan pengisian jawatan penting parti diduduki oleh wanita wanita yang berbakat dan berpengalaman.

"Kita berbangga dengan realisasi ini apabila pengisian jawatan penting termasuk Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) dan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diterajui oleh dua pimpinan wanita yang keupayaan dan kebolehan mereka tidak disangsikan.

"Apapun Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) yang telah bermesyuarat pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu lagi keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub di dalam perlembagaan parti

"MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita KEADILAN Pusat YB Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti," katanya.

Tegas Nurin lagi, mengiktiraf keanggotaan wanita melebihi 40% daripada 1.2 juta anggota KEADILAN, serta semangat dalam mengimbangi suara wanita dalam negara, maka melalui Fasal 5.14 Wanita KEADILAN juga mahu meningkatkan representasi wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selari dengan kehendak perlembagaan.

"Ini seharusnya dilaksanakan dengan memastikan tidak kurang dari 7 orang pimpinan wanita yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan yang akan berlangsung kelak, secara automatiknya dimasukkan ke dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menang bagi Sesi 2022 – 2025.

"Wanita KEADILAN menyeru semua perwakilan untuk sama-sama mengangkat agenda ini," kata Nurin lagi.


No comments: