Parlimen mesti siasat isu MySejahtera, kata Anwar

 

FMT ReportersMarch 29, 2022




Anwar Ibrahim berkata Khairy Jamaluddin memberi penjelasan kabur
 berhubung isu pemilikan aplikasi itu, termasuk perkara berkaitan data
 peribadi.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Parlimen memulakan siasatan komprehensif bagi mengenal pasti segala perihal membabitkan aplikasi MySejahtera, terutama berhubung kerahsiaan data peribadi.

Beliau berkata, persoalan tentang pemilikan aplikasi MySejahtera dan datanya terus kabur walaupun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin cuba menjelaskannya.

Katanya, beliau turut menyatakan rasa terkejut apabila Majlis Keselamatan Negara pada April 2020, telah membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi sangat penting terhadap akses maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian bertulis.

“Saya kini menggesa sebuah siasatan yang komprehensif oleh Parlimen dimulakan bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera bagi memaknai konsep ketelusan.

“…dengan maksud kerahsiaan data peribadi dilindungi dari watak-watak yang tamak yang hanya mahu mencari keuntungan dari data peribadi rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Merujuk kepada data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Anwar berkata, KPISoft Malaysia Sdn Bhd, syarikat membangunkan MySejahtera, dimiliki 100% syarikat berpangkalan di Singapura, Entomo Pte Ltd.

Anwar berkata, ia membimbangkan kerana kerajaan telah melibatkan entiti asing tanpa kontrak atas tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) CSR untuk membangun dan mengurus perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat negara ini.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini, mempersoalkan pengambilalihan MySejahtera oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft, atau kini dikenali sebagai Entomo Malaysia.

Dilaporkan, Kabinet sudah memberikan “lampu hijau” kepada Kementerian Kesihatan pada November, bagi melantik MySJ untuk mengambilalih aplikasi itu menerusi runding terus.

Sebelum ini, Khairy menegaskan aplikasi itu adalah kepunyaan kerajaan dengan kementeriannya dilantik sebagai “pemilik asal” MySejahtera bagi pengurusan kesihatan awam negara.

Dalam pada itu, Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) mahu sesi khas sidang Parlimen dipanggil, termasuk siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjelaskan penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta.

“Parlimen mesti bersidang dalam sesi khas bagi Khairy mengemukakan penjelasan penuh dan memuaskan, dan Ahli Parlimen membahaskan isu itu membabitkan tindakan seterusnya yang boleh diambil demi menyelesaikannya,” katanya.

“SPRM mesti menyiasat dan merungkai jika terdapat sebarang bentuk korupsi dan pelanggaran undang-undang sehingga kepada keputusan dibuat Kabinet,” kata C4.

C4 juga menggariskan isu itu perlu diselesaikan, termasuk alasan di sebalik keputusan kerajaan menswastakan perkhidmatan kesihatan dimandatkan oleh rakyat, termasuk kriteria pemilihan dalam perolehan MySejahtera.

Hari ini, Khairy mengumumkan beliau akan memberi penjelasan terperinci berhubung pelantikan MySJ sebagai sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera di Dewan Negara Khamis ini.


No comments: