BIMBANG DATA PERIBADI DICEROBOH : Gerakan padam MySejahtera di media sosial raih perhatian

 


MySejahtera mendapat perhatian baru-baru ini selepas Jawatankuasa
 Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan pengambilalihan aplikasi
 itu oleh MySJ daripada pembangun asalnya.

PETALING JAYA: Perkembangan semasa membabitkan aplikasi MySejahtera mengejutkan pengguna media sosial susulan kebimbangan pencerobohan data peribadi dengan sebahagian pula menimbangkan untuk memadamkan aplikasi itu dalam peranti mereka.

MySejahtera yang diperkenalkan sebagai aplikasi mandatori pada Ogos 2020, mendapat perhatian, baru-baru ini, susulan persoalan ditimbulkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengambilalihan aplikasi itu oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft Malaysia Sdn Bhd, syarikat pembangun tempatan.

Menjadi subjek kebimbangan sejak penggunaanya dikuatkuasakan terutama membabitkan data peribadi, dapatan PAC yang mengatakan pelantikan MySJ dibuat menerusi runding terus bagi menguruskan MySejahtera, menambah kebimbangan penggunanya.

“Kini masanya padam peranti penjejakan kerajaan #MySejahtera. Ia berada di tangan syarikat swasta,” kata pengguna Twitter, @Trayset.

“Sudahlah, saya padam MySejahtera,” kata seorang lagi pengguna menggunakan ‘handle’, @1Obefiend.

Dalam pada itu, pengguna, @jllmisai berkata, dia kecewa dan bertindak memadamkan aplikasi itu sejurus mengetahui ia “dijual” atau diambil alih.

Bagaimanapun, pengguna itu berkata, dia terpaksa memasang semula aplikasi berkenaan selepas itu memandangkan seorang kakitangan kedai serbaneka tidak membenarkan dia masuk ke premis, melainkan selepas mengimbas kod MySejahtera bagi paparan status vaksinasi.

Dalam kenyataan semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menegaskan aplikasi itu adalah milik kerajaan, dengan pihak kementeriannya dilantik sebagai “pemilik utama” MySejahtera bagi pengurusan kesihatan awam negara.

Sambil mengulangi penjagaan data sentiasa dilindungi kerajaan, Khairy berkata, satu-satunya isu adalah penyelenggaraan platform terbabit.

Bagaimanapun, penjelasan diberikan Khairy tidak cukup untuk memuaskan hati pengguna media sosial.

“Sehingga saat ini, saya menggesa orang ramai memadamkan #MySejahtera sehingga kerajaan mengemukakan secara kukuh (bukti) bahawa data peribadi dan lokasi kita tidak dieksploitasi entiti swasta,” kata pengguna @paws_nice.

“Mahu bercakap tentang ancaman keselamatan? Inilah dia! Bukan LGBT, bukan Netflix!”