Jangan taksub dengan personaliti politik - Rafizi
KUALA LUMPUR: Jangan lagi atau sesekali taksub kepada
mana-mana personaliti politik kerana mereka tidak kekal, nasihat Rafizi Ramli.
Sebaliknya, tegas Naib Presiden PKR itu ialah,
yang perlu terus menjadi penilaian pengundi adalah kumpulan politik mana yang
dapat menawarkan khidmat untuk memperjuangkan hal ehwal rakyat dengan
sebenar-benarnya.
Bahkan, kata Rafizi, kerana ketaksuban itu juga
pada akhirnya mencetuskan kelesuan politik dalam kalangan rakyat apabila cerita
yang sama sejak dari dahulu hingga kini iaitu perebutan kuasa individu-individu
tertentu terus dimomokkan.
“Ahli politik sehebat mana pun mereka, di
sebelah mana pun, mereka datang dan pergi.
“Yang kita perlukan ialah satu pasukan yang
cekap, yang betul-betul ikhlas dan mereka tahu mereka digaji untuk
menyelesaikan masalah rakyat dan hebat atau tidak mereka adalah seberapa cepat
dan kreatifnya mereka melahirkan penyelesaian dengan segera
“Itu jarang berlaku lagi, sebab itu timbul
rasa bosan dengan politk,” kata Rafizi ketika diwawancara dalam program Agenda
AWANI yang dihoskan oleh Ibrahim Sani.
Berdasarkan pemerhatian bekas Ahli Parlimen
Pandan itu juga, selepas empat tahun politik negara dilihat tidak berkisar soal
rakyat yang sebenarnya, tetapi beberapa kerat golongan yang ‘kalau menang
mereka jadi menteri’ yang jelas sama sekali tidak melahirkan sebarang perubahan
dasar.
Bertitik tolak dari situ, ujar Rafizi,
menyebabkan sebahagian besar pengundi atas pagar khususnya enggan turun
mengundi kerana sudah letih dan bosan untuk mendengar kisah orang yang sama
dalam gelanggang politik.
“Sebab itu kita kena bawa kembali keseluruhan
diskusi dan fokus politik itu kepada soal masalah rakyat,” jelas Rafizi yang
baru-baru ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding merebut jawatan
Timbalan Presiden PKR.
Ikuti temu bual penuh bersama Rafizi dalam
program Agenda AWANI dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini:
Jangan taksub dengan personaliti politik - Rafizi Ramli