Jho Low seleweng USD1.42 bilion daripada urusniaga 1MDB diatur Goldman, kata ejen FBI

 Bloomberg

 -
facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York yang membicarakan kes
 Roger Ng diberitahu, Jho Low adalah penerima terbesar daripada 16
 orang yang menerima dana dikumpul oleh Goldman Sachs dalam
 urusniaga bon untuk 1MDB. (Gambar Bloomberg)

NEW YORK: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa menjadi dalang dalam skandal 1MDB telah menyeleweng USD1.42 bilion daripada urusniaga bon diatur oleh Goldman Sachs Group Inc untuk dana kekayaan Malaysia, kata ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang mengesan dana itu ketika memberi keterangannya.

Eric Van Dorn memetik jumlah wang itu daripada kandang saksi pada hari Isnin dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman Roger Ng.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengaut USD756 juta daripada jumlah keseluruhan USD6.5 bilion, kata Van Dorn kepada juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Katanya, bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment Co milik kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi yang menjamin urusniaga 1MDB itu telah menerima USD472.8 juta.

Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan 1MDB.

Van Dorn yang berkata bagaimana dia mengesan wang terbabit disalurkan kepada sekurang-kurangnya 16 penerima memberitahu juri bahawa Ng mendapat USD35.1 juta menerusi dua daripada tiga urusniaga bon, manakala bekas pegawai bank Goldman Tim Leissner yang mengaku bersalah atas penipuan itu dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) menentang Ng, mendapat USD73.4 juta.

Najib telah disabitkan kesalahan di Malaysia dan dihukum penjara 12 tahun berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. Beliau membuat rayuan atas sabitan itu.

Jurucakap kepada Najib tidak membalas emel dengan segera untuk mendapatkan komen berhubung keterangan Van Dorn.

No comments: