Di sebalik kemegahan Umno

 Mohsin Abdullah

 -


Apa agaknya akan berlaku sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula esok? Tentunya Umno berada dalam kemegahan. Presiden parti akan melangkah masuk ke dewan persidangan dengan bangga. Sesungguhnya beliau dan partinya berhak “berkepak”.

Kerana PAU kali ini berlangsung empat hari selepas BN yang dikemudi Umno menang bergaya di Johor. Sebelum itu menang bergaya juga di Melaka.

Dengan kemenangan itu timbul keyakinan akan menang PRU pula. Sehari sebelum PRN Johor, Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa “menang di Johor menang PRU15”.

Zahid dan orangnya sekian lama mahu PRU15 diadakan secepat mungkin. Lebih-lebih lagi sebelum pemilihan parti yang dijadual diadakan tahun ini. Disember katanya.

Pada malam 12 Mac ketika Naib Presiden Umno dan juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu pejabat Umno untuk mengikuti keputusan PRN Johor beliau dihadapkan dengan laungan “bubar bubar” yang diteriak ahli parti.

Maksudnya jelas. Mereka mahu Ismail bubar Parlimen untuk membolehkan PRU15 diadakan. Sehari kemudian Ismail memberi reaksi. Kata beliau, kerajaannya tidak akan terburu-buru bubar Parlimen dan adakan pilihan raya. Kata Ismail, keputusan bubar Parlimen tidak perlu dipengaruhi “kumpulan kecil”.

Tidak dihuraikan siapa “kumpulan kecil” itu. Secara rambang tentulah kumpulan yang melaungkan “bubar bubar “ yang menyambutnya di ibu pejabat Umno Johor malam Sabtu lalu, akan tetapi mungkin juga “kumpulan lain” dalam Umno.

Yang kita tahu, seperti dikatakan tadi, Zahid dan timnya mahu PRU diadakan segera. Bagaimanapun pada 13 Mac lalu iaitu sehari selepas Umno-BN menang besar di Johor, Zahid berkata pula “kami tidak akan desak PRU15 diadakan. Buat masa ini”.

Pun begitu, tanpa menuduh beliau tidak bercakap benar, kata-katanya itu boleh dianggap cakap-cakap politik yang mengambil kira keadaan, taktik, dan strategi. Bagi saya kata kuncinya ialah “buat masa ini”.

Dalam pada itu, pemimpin Umno dan juga menteri Kabinet seperti Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin senada dengan Perdana Menteri. Tidaklah memeranjatkan. Kan Perdana Menteri bos mereka?

Kata Annuar, keputusan bila pilihan raya dipanggil adalah hak Perdana Menteri dan pilihan raya, kata beliau, mesti dilangsungkan apabila “BN sudah bersedia”. Adakah BN terutama Umno belum bersedia? Atau Annuar tidak yakin Umno-BN sudah bersedia?

Khairy pula berpendapat keadaan kesihatan awam yang terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum PRU15 diadakan. Pandangan yang amat wajar dan logik oleh Khairy selaku Menteri Kesihatan. Cuma beliau tidak pula berkata demikian ketika PRN Melaka dan Johor diadakan walaupun ketika itu keadaan wabak tetap mencemaskan.

Apa pun Khairy dan Annuar dikatakan tidak sehaluan atau bukan dalam kalangan tim Presiden parti. Bukanlah rahsia besar kedua-dua berada dalam kumpulan pro Ismail. Mereka juga, terutama Annuar, dianggap pro-Perikatan Nasional.

Jadi apa yang akan terjadi pada PAU kali ini?

Kata Mohd Azlan Zainal, pengarah operasi Ilham Centre, pasca PRN Johor Ismail Sabri pasti akan ada tekanan. Dijangka isu pembubaran Parlimen akan dibincangkan segera.

“Ismail selaku Naib Presiden parti pasti tiada banyak pilihan. Dia berharap agar mampu bertahan selaku PM hingga tamat penggal. Pastinya jika BN menang semula PRU maka dia tidak lagi akan diangkat sebagai PM”.

Jika apa yang Azlan kata itu benar mungkin itulah sebabnya ada pihak pro-Ismail mahu pemilihan Umno diadakan sebelum PRU 15 supaya Ismail dengan kelebihan yang ada pada seorang Perdana Menteri mencabar dan menewaskan Zahid untuk memegang jawatan presiden Umno.

Menurut mereka selaku presiden parti, Ismail akan menjadi Perdana Menteri seandainya BN menang PRU15 . Perlu diingat juga selaku Presiden Umno, Ismail boleh memilih timnya menjadi calon kerana pemilihan dan pemberian watikah calon adalah kuasa presiden parti.

Selain isu pembubaran Parlimen, menurut Azlan, pastinya PAU kali ini juga antaranya akan fokus status Muafakat Nasional.

“Setelah menang besar di Johor, Umno tentunya memilih jalan sendirian tanpa MN. Kumpulan Umno pro-Perikatan Nasional pasti tidak selesa dengan apa yang terjadi,” kata Azlan.

Imbau kembali sebelum pengumuman kemenangan besar Umno-BN di Johor pada malam 12 Mac – Zahid dilapor berkata BN terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRN Johor selesai.

Tetapi kata beliau “kalau Insyaallah kita (Umno-BN) dapat 2/3, saya fikir kerjasama tidak bererti”.

PAS yang sebelum ini bersama Umno menubuhkan MN jelas tidak senang dengan kenyataan Zahid itu. Kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan dalam setiap keadaan pun sikap ihsan dan bekerjasama tetap langkah yang bijak manakala sikap sombong tidak sihat dan mesti dibaiki.

Namun bagi saya meskipun kata-kata Zahid itu boleh dilihat sombong dan angkuh ia realiti politik. Apa perlunya menjalin kerjasama apabila sudah ada “super majority”? Ini kenyataan – berdasarkan keadaan nyata bukannya sentimen dan emosi.

Bagi penganalisis politik, Sivamurugan Pandian, setelah kemenangan bergaya di Melaka dan Johor, kepimpinan Zahid mempunyai kelebihan.

“Saya fikir PAU ini akan menekankan ke arah PRU15 segera. Jika desakan datang dari perhimpunan agung dan resolusi diterima, adakah Ismail boleh berkata ‘tidak’ dan menolaknya?”.

Persoalan yang cukup besar.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: