GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan CIMB Bank mengemukakan pernyataan pembelaan dalam tuntutan saman dikemukakan 12 pemegang akaun berhubung kesilapan bank itu yang menyebabkan wang mereka dibekukan serta mereka menanggung hutang.
Mahkamah memerintahkan bank itu memfailkan pembelaan selewat-lewatnya 30 Mac apabila kes itu dibawa untuk sebutan dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Malarselvi Sanmugam.
Saman itu difailkan pada 28 Feb, dengan Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid ditugaskan untuk mengetuai kes.
Nazmi Mohd Zain mewakili pengadu dan Sathya Kumardas mewakili CIMB. Seramai 12 pemegang akaun yang menyaman bank itu mendakwa tindakan membekukan akaun adalah pelanggaran kontrak.
Mereka mendakwa kesilapan pemprosesan pihak ketiga tetap menjadi kesalahan bank, bukan pelanggan.
Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan pembekuan akaun bank “tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan” kerana ia bertentangan dengan terma dan syarat bank.
Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan membekukan akaun telah menjejaskan pelanggan secara tidak adil dan mengabaikan serta melanggar kewajipan menjaga pelanggannya.
Bulan lalu, bank itu mendakwa ralat pemprosesan yang berkaitan dengan perkhidmatan kiriman wang kewangan kepada pihak ketiga menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan dikreditkan dua kali secara tidak sengaja.
CIMB kemudian berkata, ia cuba mendapatkan semula jumlah gandaan itu. Bank itu menafikan dakwaan salah laku dan mahu mempertahankan diri.
Mereka yang menyaman bank ialah Ahmad Sharil Nor Rasit, 42, Azwani Aziz, 39, Nor Amirah Suria, 26, Nor Sazliana Sazali, 31, Mukmin Mohd Ibrahim, 34, Siti Roziana Abdullah, 26, Haris Fadhillah Yaacob, 28, Azizi Aziz, 34, Azizul Aziz, 40, dan tiga syarikat, Ai Smart Perfect Services, Ai Smart PS Trade dan Harmonian Altra Trading.
CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.