Tarik rayuan kes rasuah Tengku Adnan Mansor kerana peluang menang tipis?



Pembebasan oleh Mahkamah Rayuan ke atas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat kerana kes tersebut dilaporkan mempunyai bukti kukuh.

Manakala penarikan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan oleh pejabat Peguam Negara baru baru ini menimbulkan lebih banyak kontroversi.

Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) melalui soalan bertulis di Dewan Rakyat bertanya kepada Perdana Menteri Malaysia apakah rasional Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan sedangkan kes Ku Nan telah diputuskan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelumnya.

Soalan itu dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan alasan kes berkenaan lemah.

"Pada menjalankan kuasa menarik balik sebarang prosiding jenayah yang diberikan oleh Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan pihak Jabatan Peguam Negara akan mengkaji semula setiap keputusan untuk merayu setelah mendapat alasan penghakiman dan rekod rayuan

"Jika setelah dikaji dengan teliti didapati bahawa peluang untuk menang dalam rayuan tersebut adalah amat tipis maka keputusan akan diambil untuk tidak meneruskan dengan rayuan terebut

"Kajian semula sebegini akan dilakukan untuk setiap kes yang dirayu dengan tidak mengambil kira siapakah tertuduh yang terlibat. Tujuan kajian semula ini juga dibuat setelah mengambil kira alasan di atas supaya masa mahkamah dan wang rakyat tidak dibazirkan," katanya.

Kes Ku Nan mendapat ulasan meluas rakyat kerana dalam perbicaraan berasingan pemilik syarikat yang didakwa telah memberi rasuah mengaku bersalah di atas pertuduhan.

Ku Nan juga sebelum ini telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya.



No comments: