'Undi pos perantauan amat bernilai tolak rasuah, penyelewengan di tanah air' - Akmal


 

Undi pos bangsa Johor yang bekerja di Singapura begitu berharga untuk menentukan kerajaan seterusnya memerintah di negeri itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, dalam klip videonya menyeru agar perantau yang bekerja di luar negara segera mendaftar sebagai pengundi pos untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kesukaran mereka pulang ke tanah air mengundi secara biasa ekoran sekatan prosedur pencegahan pandemik Covid 19.

"Walaupun ini merupakan PRN Johor, undi pos saudara saudari merupakan referendum untuk kita tolak rasuah, tolak salah guna kuasa, tolak penyelewengan yang mana semakin membarah dalam negara kita.

"Indeks Persepsi Rasuah atau CPI Malaysia terus jatuh merudum ke tangga 62, bukan sekadar tertinggal jauh daripada Singapura, kita juga kalah kepada negara seperti Bhutan, Namibia dan sebagainya.

"Sedangkan abang abang dan kakak kakak bertungkus lumus mencari rezeki di Singapura. Ada yang bertahun terpisah dari keluarga demi mencari sesuap nasi.

"Sebab itu kali ini, jangan kita lupa mengundi demi anak anak, demi keluarga, demi kawan kawan di Johor," katanya sambil membuat gimik membuka sampul surat kertas undi pos.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, tempoh pendaftaran undi pos akan tamat pada 18 Februari ini tidak harus disia siakan. Peluang untuk membuang undi secara pos seharusnya diambil dengan mendaftar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara di atas talian.

"Daftarlah di laman web SPR, lepas daftar SPR akan menghantar satu emel mengesahkan permohonan saudara sedari telah berjaya.

"Selepas penamaan calon nanti, SPR akan menghantar kertas undi pos ke rumah saudara saudari, tidak kira di Sembawang, di Tampines, yang penting apabila abang abang, kakak kakak dapat undi pos, pangkah pilihan calon kita dan kemudian hantar kembali ke alamat yang diberikan.

"Sebenarnya proses ini mudah cuma perlu komitmen daftar undi dan hantar balik kertas undi tersebut.

"Inilah peluang kita untuk lawan rasuah demi keluarga kita. Demi negara. Jangan lupa daftar undi pos sekarang," katanya.

Akmal juga menyeru agar seruan itu dipanjangkan kepada anak anak, saudara mara serta kawan kawan rakyat Malaysia di Singapura.

Katanya, undi mereka sangat penting untuk masa hadapan negeri Johor buat 5 tahun akan datang.

 

No comments: