Umno - Pas berperang: Rakyat sedar lebih baik tolak kedua duanya - Azan





Perang mulut antara dua parti terbesar Melayu, Umno dan Pas sehingga mengumpamakan lawan masing masing dengan gelaran haiwan menyedarkan orang Melayu bahawa kedua duanya sebelum ini telah memperdaya rakyat dengan penyatuan dalam Muafakat Nasional.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, perasaan tertipu sama juga semakin meluas di rasakan di Terengganu, dan tidak mustahil dua parti chauvinis Melayu itu akan ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke 15.

Katanya, kedua dua Pas dan Umno pernah memerintah Terengganu dan mempunyai pengalaman tidak menunaikan janji pilihan raya selepas menang.

"Jika kita mengimbau pilihan raya 1999, masa itu rakyat Terengganu membuat keputusan menolak Umno kerana isu MB Wan Mokhtar, Pas menang banyak kerusi, hanya 4 kerusi Umno menang. Manakala pada tahun 2004, Umno pula menang sama banyak macam Pas sebelum itu.

"Jadi di Terengganu rakyat silap tafsiran. Masa Umno merosot, percaya pada Pas (yang dianggap) lebih baik.

"Namun untuk kali ini, rakyat dilihat Terengganu mula sedar (Pas dan Umno berperang mulut). Walaupun Umno cuba banyak kali (mahu menang semula)

"Saya rasa sudah makin ramai pengundi anak Terengganu yang berkira-kira, dan mereka kata yang belum dicuba adalah Pakatan Harapan ataupun KEADILAN," kata Azan ketika dihubungi.

Tambah mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, melihat kepada ekonomi Terengganu yang tidak bergerak dan harga barang pula melambung, pengundi mungkin tidak akan berpatah balik kepada Umno sebagaimana 'pendulum politik' di negeri itu sejak merdeka.

"Saya pasti rakyat Terengganu terbuka, dan beri pilihan pada pasukan atau parti yang belum pernah mereka cuba. Dan itu satu satunya pilihan yang mereka ada sekarang," katanya lagi.

Untuk rekod, peluang pekerjaan di Terengganu sejak diperintah Pas tidak menunjukkan peningkatan. Malah baru baru ini Kerajaan Negeri membuat upacara flag off atau perlepasan tenaga kerja Terengganu untuk bekerja di Selangor.

Begitu juga pelaburan asing yang hampir tidak menjejakkan kaki ke Terengganu sejak Pas mengambilalih pentadbiran pada 2018 lalu.


No comments: