Kerajaan Selangor jual ayam RM8 sekilo



Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menjual ayam segar pada harga RM8 sekilogram di premis jualan di bawah seliaan PKPS bermula 7 Februari 2022.


Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, inisiatif itu adalah bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses secukupnya kepada ayam segar berkualiti dan pada harga berpatutan.


"Bagi membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan, Kerajaan Negeri menerusi PKPS telah memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta untuk menjalankan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.


"Ini sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan harga barang makanan segar di Selangor terkawal sehingga musim perayaan nanti.


"Program ini akan meliputi kos subsidi, pengurangan sewa dan bantuan logistik kepada rantaian bekalan yang strategik untuk mengawal harga barang makanan khususnya produk segar," katanya.


Menurut MB lagi, sebanyak 50,000 ekor ayam standard akan diperuntukkan bagi kempen harga jualan itu untuk tempoh dua minggu bermula Isnin ini.


"Ayam Standard Ehsan PKPS boleh didapati pada harga tersebut di dua premis jualan utama iaitu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Outlet PKPS, Seksyen 14, Shah Alam. Pembelian terhad kepada 2 ekor setiap pembeli.


"Semoga ikhtiar ini memberi manfaat kepada rakyat di Negeri Selangor di saat kenaikan harga barang yang membebankan rakyat," katanya.


No comments: