Tindakan kerajaan BN mengawal harga dengan menurunkan harga ayam
segar 20 sen sekilogram kepada RM8.90 sekilo tidak akan membantu memastikan
bekalan mencukupi.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, kerajaan
seharusnya memberi subsidi kepada pengusaha penternakan ayam untuk meningkatkan
pengeluaran dan seterusnya harga akan dapat dikawal dengan lambakan bekalan.
"Kerajaan perlu membantu penternak ayam sebab memang harga
makanan ayam naik mendadak. Kalau kerajaan betul-betul nak kawal harga ayam
mereka perlu beri subsidi kerana dengan itu kos penternak turun dan dapat
mengawal bekalan ayam.
"Dengan penurunan harga jual 20 sen tidak membantu kerana kos
yang ditanggung penternak kekal tinggi. Kalau mereka sebagai kerajaan yang
bertanggungjawab mereka perlu adil kepada penternak dan juga pengguna,"
katanya ketika dihubungi.
Semalam, mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Sim Tze Tzin mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi RM500 per metrik
tan kepada penternak ayam bagi mengawal harga.
Tindakan itu, katanya boleh memastikan harga dan bekalan ayam
stabil dalam jangka panjang tanpa perlu mengimport.
Dalam hal pengimpotan ayam Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih
Kang juga tidak menyetujui langkah kerajaan.
Mengenai komen netizen di media sosial yang mendakwa permit import
(AP) diberi kepada kroni tertentu dan mengenakan harga RM8,366 setan ayam,
sedangkan boleh diperolehi pada harga RM5,435 setan, Lih Kang berkata, hal itu
akan menjadi masalah jika ia benar benar berlaku.
"Kita dah boleh agak kerajaan akan beri kepada mereka yang
ada hubungan. Ini tidak membantu harga ayam menjadi makin murah
"Saya rasa jika dakwaan itu benar maka ia tidak memberi kesan
yang positif terhadap harga ayam," katanya lagi.