Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menafikan bahawa pihaknya ada menerima sebarang surat memohon agar DUN dibubarkan.
Perkara itu sekaligus menafikan dakwaan bahawa ada pihak yang memaklumkan berkenaan penghantaran surat tersebut yang sudah diterima Speaker DUN Johor itu.
Suhaizan ketika dihubungi Malaysia Dateline menyatakan bahawa spekulasi berkenaan dakwaan penerimaan surat dibuat hanya bertujuan politik setengah pihak.
“Ia dibuat untuk mempertajamkan lagi dakwaan berkenaan dengan pembubaran DUN Johor yang kini hangat diperkatakan orang ramai.
“Tiada surat yang diterima pihak kami dan kerajaan masih berjalan seperti biasa tidak ada sebarang pembubaran untuk berlaku pada 23 Januari ini.
“Saya juga meminta mana-mana untuk menghentikan sebarang spekulasi yang tidak betul ini agar ia tidak mengganggu pentadbiran yang sedia berlangsung,” katanya.
Sebelum ini dalam satu laporan berita memaklumkan bahawa spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hampir pasti apabila DUN dikatakan akan dibubar Ahad ini.
Sumber dalaman Umno mengesahkan surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN.