Adakah Muhyiddin boleh bertahan pada PRN Johor?

 


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan berdepan ujian berat terhadap popularitinya jika pilihan raya diadakan di Johor, menurut penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin berdepan situasi dan pilihan sukar jika pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan, menurut pakar.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata Umno mendesak PRN Johor diadakan ketika ini untuk menguji kekuatan dan sokongan Muhyiddin.

“Salah satu sebab utama adalah untuk menamatkan riwayat Bersatu dan meletakkan Muhyiddin dalam kedudukan yang janggal ketika PRU15.

“Sebab itu Umno mendesak pilihan raya negeri,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Azmi yang meramalkan PRN Johor boleh diadakan sejurus selepas Tahun Baharu Cina berkata, ia akan menguji sokongan akar umbi Muhyiddin di negeri paling selatan itu.

“PRN Johor sama ada akan menenggelamkan atau memberi rangsangan politik kepada Muhyiddin. Kerjaya politiknya bergantung kepada PRN ini,” tambahnya.

Muhyiddin, 75, adalah Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Pada 2008, Ahli Parlimen Pagoh itu bertanding dan memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno dan pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Najib Razak.

Namun, beliau digugurkan daripada jawatan itu pada 2015 kerana lantang dan kritis terhadap kerajaan serta partinya berhubung skandal 1MDB.

Pada 2016, beliau bersama beberapa pemimpin lain menubuhkan Bersatu, yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) dan ketika itu PH memerintah selepas menang dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

Beliau menjadi Perdana Menteri selepas PH tumbang pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton, tetapi disingkirkan 17 bulan kemudian selepas hilang sokongan, menjadikannya Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara.

Kenneth Cheng.

Bulan lalu, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata beliau sedang mempertimbangkan mengadakan PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai Barisan Nasional hanya berkelebihan satu kerusi sejurus selepas kematian ADUN Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian.

Penganalisis Kenneth Cheng berkata Umno mungkin merancang satu langkah taktikal untuk memusnahkan Bersatu di Johor. “Langkah Umno mungkin mahu mengaibkan Bersatu sebelum PRU15 diadakan,” katanya kepada FMT.

Semasa PRU14, beliau berkata PH mahu Bersatu bertanding seberapa banyak kerusi Parlimen dan DUN bagi mengukuhkan parti baharu itu kerana gabungan itu merasakan pembangkang mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenangi kubu kuat Umno.

Tetapi kini, katanya Umno yakin dapat memenangi semula beberapa kerusi DUN yang dimenangi Bersatu.

“Muhyiddin kini dalam dilema,” kata Cheng. “Beliau akan dicemuh jika memilih untuk tidak bertanding dan berdepan dengan keadaan memalukan jika Bersatu tidak beraksi dengan baik kerana negeri itu dilihat sebagai kubu kuat beliau,” katanya.

Sivamurugan Pandian.

Disebabkan itu, beliau berkata walaupun BN Johor masih boleh mentadbir negeri itu dengan majoriti satu kerusi mereka mahu “merosakkan” Bersatu seberapa banyak yang mereka boleh sebelum pilihan raya umum.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pertaruhan bagi BN dan Bersatu adalah tinggi dan kedua-duanya mungkin cuba menjatuhkan satu sama lain “seboleh-bolehnya”.

Tetapi sebelum pilihan raya, beliau berkata akan ada beberapa pemimpin daripada PAS dan Bersatu berkemungkinan akan cuba mendapatkan semula kerjasama Umno.

Tambah Sivamurugan, PRN Johor akan menjadi “ujian pengaruh” untuk kerusi DUN Gambir yang dimenangi Muhyiddin.

“Ia (Gambir) telah menjadi kubu kuatnya dan jika PRN diadakan, ia akan mendedahkan sama ada beliau masih mendapat sokongan tempatan,” tambahnya.

No comments: