PH gesa KPM, SPP segerakan proses serap guru interim sebagai guru tetap



Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) segera memanggil guru-guru interim untuk ditemuduga bagi memudahkan urusan mereka diserap sebagai pendidik.

Menerusi kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersama tujuh anggota JKPPH, mereka memaklumkan menerima banyak aduan dari guru-guru interim yang dilantik sebelum ini, tidak dipanggil untuk ditemuduga oleh pihak SPP walaupun tempoh khidmat mereka hampir tamat.

Menurut JKPPH, apa yang berlaku ini merupakan penganiayaan kepada guru-guru sedangkan dalam surat tawaran telah dinyatakan bahawa mereka akan dipanggil untuk diserap sebagai guru tetap.

“JKPPH dimaklumkan yang dalam tempoh perkhidmatan sebagai guru interim, pihak SPP akan memanggil mereka untuk ditemuduga agar boleh diserap sebagai guru tetap selepas tamat kontrak mereka.

“Namun, keluhan daripada guru-guru interim ini, masih ramai yang belum dipanggil oleh SPP.

“Malah pengambilan secara one-off yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan tahun lalu untuk mengisi jumlah guru yang tidak mencukupi juga tidak melibatkan guru interim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JKPPH turut berpandangan, guru interim perlu diutamakan pengambilan mereka sebagai guru tetap selain graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Ini katanya, memandangkan guru interim telah berpengalaman bertugas di sekolah dan sudah mahir dengan situasi semasa di sekolah.

Kenyataan JKPPH dibuat bersama Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai; dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu.


No comments: