MELUTUT DEMI JAWATAN DAN KUASA...DAPAT KUASA APA PUN TAK BUAT

 


PAS takkan tinggalkan Bersatu di Johor, kata penganalisis




Seorang pemerhati politik berkata PAS lebih suka bekerjasama dengan Bersatu berbanding Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

PETALING JAYA: PAS tidak akan menolak Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang walaupun prestasi buruk mereka di Melaka Nov lepas di bawah Perikatan Nasional, kata seorang penganalisis politik.

Mohd Sayuti Omar berkata Bersatu dilihat lebih telus dan ikhlas berbanding Umno.

Tambah beliau, PAS mempunyai “sejarah buruk” dengan Barisan Nasional (BN) ketika menjadi sebahagian daripada gabungan itu pada 1970-an. Pemerhati politik itu berpandangan, PAS merasakan mereka telah dikhianati Umno, sehingga tercetusnya krisis politik dalam kerajaan Kelantan yang membawa kepada protes dan pengisytiharan Darurat.

PAS juga lebih mempercayai Bersatu kerana Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang berasal daripada keluarga berlatar belakangkan agama.

“Keputusan Umno Kelantan untuk memutuskan hubungan dengan PAS mengukuhkan lagi alasan untuk PAS terus bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Walaupun keputusan PRN Melaka mungkin menyebabkan PAS berfikir dua kali untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu, ia tidak akan menyebabkan mereka menolak Bersatu, katanya.

“Saya berpendapat PAS Johor lebih suka bekerjasama dengan Bersatu. Hanya jika Bersatu mahu bekerjasama dengan Umno, PAS akan turut sama ikut,” katanya.

Menyedari keretakan dalam hubungan parti Islam itu dengan Umno, Sayuti berkata akar umbi PAS tetap setia kepada kepimpinan parti dan akan ikut apa sahaja keputusan dibuat.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan perpecahan itu akan membawa kepada keluarnya ahli sebagaimana Amanah ditubuhkan dan berpandangan perpecahan dalam PAS berkait hubungannya dengan Umno hanya melibatkan “beberapa” pemimpin.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, sama ada Bersatu boleh mengharapkan sokongan pengundi PAS bergantung kepada kedua-dua rakan sekutu itu. “Apabila kerjasama itu terputus, Bersatu akan kehilangan undi dalam kalangan penyokong PAS,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan PAS mesti menilai dengan teliti manfaat bekerja dengan parti yang “tercemar rasuah” seperti Umno.


No comments: