Mahkamah Tinggi semalam memutuskan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi diarah membela diri atas 47 pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengannya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid Hamidi yang juga pengasas yayasan tersebut.
Sehubungan itu, tarikh perbicaraan bagi Zahid Hamidi membela diri ditetapkan pada 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22 dan 23 Ogos serta 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22 September serta 26 hingga 29 September; 17 hingga 20 Oktober serta 31 Oktober; 1 hingga 3 November serta 7 hingga 10 November.
Berdasarkan jadual yang ditetapkan Mahkamah Tinggi itu, Zahid Hamidi dijangka sangat sibuk dengan kes perbicaraan dan turun naik mahkamah sepanjang tahun 2022.
Itu belum lagi dikira dengan 40 kes pertuduhan lain yang juga sedang dihadapinya dalam kes rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Dengan kesibukan turun naik mahkamah sepanjang tahun 2022 ini, sementara parti juga turut sibuk dengan PRN Johor dan pemilihan UMNO yang dimestikan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS perlu diadakan sebelum 29 Disember, Zahid Hamidi sebenarnya tidak relevan lagi untuk terus memimpin UMNO.
Lebih tidak relevan ialah terus memaksa PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO dilangsungkan.
Jika itu berlaku, UMNO dan BN akan menjadi lawak jenaka dunia kerana sementara parti menawarkan diri untuk mendapatkan sokongan pengundi, pemimpin utamanya pula sibuk turun naik mahkamah untuk membela diri.
Dengan situasi demikian, Zahid Hamidi tiada pilihan lain selain harus memikirkan dengan serius, demi kepentingan dan masa depan parti, untuk berundur diri dan tidak lagi mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO.
Serahkanlah jawatan Presiden UMNO itu kepada pemimpin lain yang tiada apa-apa liabiliti atas kes mahkamah untuk mengambil alih kepimpinan parti, seterusnya mendepani PRU15 akan datang.
Lagi pula, dalam sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan, belum pernah lagi pemimpin yang ada kes mahkamah bertanding jawatan Presiden.
Ketika Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding Presiden UMNO pada 2018 dahulu, kes mahkamahnya belum timbul lagi di mana ketika itu UMNO baru hilang kuasa setelah kalah dalam PRU14.
Dalam hal ini, jika Zahid Hamidi masih mahu berdegil ingin mempertahankan juga jawatan Presiden UMNO yang dipegangnya sekarang pada pemilihan akan datang ini, selain peluangnya untuk menang makin tipis, malah jika ditakdirkan beliau menang sekali pun, kesan buruknya tetap akan terlonggok menimpa UMNO.
Beliau akan terus dilihat sebagai liabiliti dan beban kepada parti, terutama dalam pandangan pengundi muda dan mereka yang berusia 18 tahun yang pertama kali membuang undi.
Sebaliknya, dengan mengundurkan diri dan mengumumkan tidak akan mempertahankan lagi jawatannya, beliau akan dianggap memiliki jiwa yang terpuji kerana lebih mengutamakan parti daripada kepentingan diri sendiri.
Sebaik-baiknya juga Zahid Hamidi harus mengumumkan keputusannya itu dalam waktu terdekat ini supaya imej parti terus terpelihara, terutamanya dalam menghadapi PRN Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dengan berpendirian demikian, Zahid Hamidi tidak perlu sibuk-sibuk lagi menekan agar PRU15 harus didahulukan sebelum pemilihan UMNO dilangsungkan.
Sebagaimana tempoh yang diberi oleh RoS bahawa pemilihan UMNO mesti diadakan sebelum 29 Disember 2022, Zahid Hamidi perlu akur dengan ketetapan tersebut dan biarlah tarikh pembubaran Parlimen diputuskan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tanpa sebarang gangguan atau tekanan daripada pihak lain. – ShahbudinHusin 25/01/2022.