Dakwaan Edisi Siasat ‘curi berjuta-juta’ fitnah, kata Guan Eng, Khalid

 

Nicholas Chung
 -

Khalid Samad menggesa individu di sebalik Edisi Siasat untuk tampil supaya beliau boleh menyaman mereka, manakala Lim Guan Eng mendakwa akaun itu menyokong Najib Razak.

PETALING JAYA: Lim Guan Eng dan Khalid Samad menafikan dakwaan akaun Twitter “pemberi maklumat” Edisi Siasat bahawa mereka “mencuri berjuta-juta” ketika menjadi menteri persekutuan selama 22 bulan.

Lim dan Khalid, masing-masing merupakan Menteri Kewangan serta Wilayah Persekutuan ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, menyifatkan dakwaan itu sebagai “bohong” dan fitnah”.

Khalid, Pengarah Komunikasi Amanah, menggesa pengendali akaun kontroversi itu mendedahkan diri supaya beliau boleh menyaman mereka.

“Saya meminta individu di sebalik Edisi Siasat tampil dan bertanggungjawab terhadap komen mereka,” Ahli Parlimen Shah Alam itu memberitahu FMT.

Sementara itu, Lim mendakwa Edisi Siasat menyasarkannya sebagai “sasaran lembut” kerana beliau sudah didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah berhubung projek terowong dasar laut.

Beliau berkata, ini berlaku walaupun SPRM tidak menemui “satu sen suapan” dalam simpanannya atau sebarang rakaman audio beliau meminta wang.

Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan motif Edisi Siasat membuat dakwaan itu, selain menambah bahawa laman itu dilihat sangat menyokong bekas Perdana Menteri, Najib Razak baru-baru ini.

Dalam catatan Twitter malam tadi, Edisi Siasat mendakwa ada ramai individu daripada pembangkang “yang lebih korup daripada Barisan Nasional”, dengan menamakan Khalid dan Lim.

“Khalid curi berjuta-juta ketika beliau menjadi menteri, begitu juga Lim. Edisi Siasat tidak akan mengundi BN, PH atau Perikatan Nasional (dalam pilihan raya umum akan datang),” katanya.

No comments: