Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan jenayah rasuah akan mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian demi kerugian sekaligus ketinggalan berbanding negara-negara serantau.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, negara terpaksa membayar lebih daripada kos sepatutnya apabila wujudnya gejala memberi ‘pelincir’.
“Ada projek yang daripada nilai RM100 juta tapi disebabkan kontraktor terpaksa bayar RM10 juta sebagai ‘pelincir’ maka harganya diletakkan lebih tinggi.
“Atau pun nak runding dengan pegawai tertentu yang membuat keputusan, nilai kontrak yang sepatutnya RM100 juta, pegawai setuju nilainya jadi RM200 juta.
“Rakyat dan negara terpaksa tanggung kos yang jauh lebih tinggi. Inilah sebabnya negara kita berada dalam keadaan seperti sekarang ini.
“Indonesia, Thailand pun nak ‘potong’ kita. Singapura dah lama ‘potong’ kita. Kita jadi negara paling mundur, ditinggalkan di kawasan rantau ini kalau kita tidak perbetulkan keadaan ini,” katanya.
Khalid berkata demikian dalam Ceramah Isu-Isu Semasa Siri 5, “Integriti Azam Baki: Ulamak Su’ Sebagai Penyokong” anjuran Biro Komunikasi dan Media Oren Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan malam tadi.
Turut serta Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Husain.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, atas kesedaran bahayanya jenayah rasuah jika tidak diperangi maka AMANAH meletakkan tema konvensyennya kelmarin, ‘Amanah Paksi Kebangkitan Umat’.
“Maknanya, sifat amanah ini perlu ditegakkan kembali barulah rakyat dapat dibangunkan semula.
“Kalau tidak ia akan berterusan. Orang yang buat rasuah, salah laku akan terlepas kerana dia sendiri boleh sogok pihak yang sepatutnya siasat dia,” tegasnya lagi.