POLIS LEPAS TIGA TEMBAKAN, RAMPAS DADAH RM27.3JUTA


 Info Santai Anak Utara II

POLIS LEPAS TIGA TEMBAKAN, RAMPAS DADAH RM27.3JUTA
Pasir Mas: Polis #Kelantan merampas syabu, ganja dan pil kuda dianggarkan bernilai lebih RM27.3 juta dalam kejadian di Kampung Padang Embun, di sini, semalam.
Jumlah itu membabitkan 300 kilogram (kg) syabu bernilai RM10.8 juta, ganja seberat 200 kg berjumlah RM500,000 dan 1.6 juta biji pil kuda dengan nilai harga RM16.6 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, anggota membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan berhampiran lampu isyarat Kampung Lati, di sini.
Katanya, anggota polis mengarahkan pemandu lelaki memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan sebaliknya suspek memecut laju dipercayai untuk melarikan diri.
"Anggota bertugas melepaskan tiga das tembakan yang mengenai bahagian belakang kenderaan berkenaan menyebabkan Toyota Hilux terbabit terbabas dan jatuh ke tali air berdekatan Jambatan Ibrahim Ali.
"Bagaimanapun, suspek dapat melepaskan diri selepas menaiki kereta Volkswagen Golf berwarna kelabu dipercayai dipandu seorang lelaki.
"Hasil pemeriksaan di dalam Toyota Hilux menemukan semua dadah terbabit yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang serta ruangan menyimpan barangan di belakang kenderaan," katanya dalam sidang media di Dewan Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.
Katanya, rampasan itu adalah kejayaan hasil kerjasama Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.
Hazani berkata pihaknya sudah mengesan identiti dua suspek terbabit dan kini dalam proses mengedarkan imej wajah mereka selain mengharapkan bantuan orang ramai untuk tampil memberi maklumat.
"Kita anggarkan bekalan syabu yang dirampas boleh menampung kegunaan untuk 600,000 penagih, manakala ganja untuk 200,000 dan pil kuda boleh diedarkan kepada lebih 500,000 penagih. Ia suatu jumlah yang besar jika terlepas daripada pihak berkuasa.
"Siasatan awal mengesyaki kesemua dadah adalah daripada negara jiran yang dibawa secara haram untuk pasaran di seluruh negeri semenanjung negara," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
▶️ HARIAN METR



No comments: