Baik pecat menteri gagal daripada gugur 144 atlet kebangsaan, kata Ahli Parlimen DAP. Pecat ja yang dok makan gaji buta tak tolong cari pelabur arab pun..sembang....

 


Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah membangkitkan isu kekurangan dana bagi persediaan sukan antarabangsa pada tahun ini. (Gambar Steven Sim)

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen DAP menyelar tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan 144 atlet negara daripada program latihan kebangsaan dengan menyifatkan tindakan itu amat mengecewakan terhadap pembangunan industri sukan tanah air.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan seharusnya memecat sepuluh Menteri dan sepuluh Timbalan Menteri yang gagal berfungsi daripada menggugurkan atlet yang berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran lumayan sekiranya isu kekurangan dana menjadi cabaran ketika pandemik.

“Lebih baik pecat sepuluh Menteri dan sepuluh Timbalan Menteri bergaji besar dalam Kabinet gergasi yang gagal berfungsi daripada menggugurkan atlet yang sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran yang lumayan.

“Gaji Menteri dan Timbalan Menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet kita dalam program latihan sukan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, MSN mengumumkan tindakannya menggugurkan 144 atlet negara daripada program latihan kebangsaan dan mengurangkan elaun latihan atlet negara ekoran kurang peruntukan.

Antara nama besar digugurkan adalah pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang mengalami kecederaan ligamen lutut sejak 2020 manakala selebihnya sedang mempertimbangkan untuk bersara, menyambung pengajian atau mencari peluang pekerjaan lain.

Steven yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau telah membangkitkan isu kekurangan dana bagi persediaan sukan antarabangsa pada tahun ini yang menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan hanya memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta sedangkan negara bakal berdepan tiga acara sukan antarabangsa, iaitu Sukan SEA Hanoi 2021, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

“Bandingkan peruntukan ini dengan Belanjawan 2018 dengan RM71.5 juta diperuntukkan untuk Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Jakarta 2018.

“Saya telah menyatakan kekhuatiran bahawa dengan pengurangan mendadak ini, atlet dan persatuan sukan tidak mendapat peruntukan yang mencukupi untuk berdepan dengan cabaran sukan antarabangsa pada tahun ini,” katanya.

Selain itu katanya, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan kosong di Dewan Rakyat pada 29 Nov lalu bahawa KBS tidak akan mengabaikan atlet dan persatuan sukan yang akan mengambil bahagian.

“Jelas, Menteri telah menipu di Parlimen apabila hanya sebulan selepas jaminan beliau bahawa KBS tidak akan mengabaikan atlet, seramai 144 orang atlet digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan,” tegasnya.

Steven juga mendakwa, sebahagian atlet mengadu bahawa KBS tidak berunding dengan mereka sebelum membuat keputusan berhubung penamatan perkhidmatan itu.

“Ini telah memperlakukan atlet kebangsaan kita seakan-akan ‘alat pakai buang’ yang boleh disingkirkan bila-bila masa dengan begitu sahaja,” katanya.

No comments: