MISI MENJEJAK “KEPALA AIR” TETAPI TERJUMPA “KEPALA BALAK” DI HULU TELEMONG.

 KHAIDIR AHMAD 

(Wartawan Tua)


Tengah hari tadi saya bergerak ke Telemong, Bentong, Pahang dalam misi menjejak “kepala air” yang dilapor menjadi punca banjir lumpur bersama apa yang disebut oleh para professor sebagai “debris” atau puing atau bahasa mudahnya sisa kayu dari penerokaan hutan serta tanah runtuh atau disebut juga oleh para professor sebagai kegelinciran tanah.


Seorang Wartawan Tua yang muflis, semestinya tidak mampu menyewa helikopter untuk membuat tinjauan dari udara seperti professor yang ditaja oleh kerajaan.


Jadi sudah tentulah, saya menggunakan kenderaan 4X4 buruk saya melalui jalan darat. 


Destinasi pertama saya di Kampung Tanjung, Karak untuk meninjau tapak 4 buah rumah di hilir Sungai Telemong yang “lesap” dilanda kepala air banjir lumpur dan sisa kayu.


Dari Kampung Tanjung saya dapat melihat dengan jelas kesan “gelinciran tanah” di kawasan bukit di belakang Pekan Karak hinggalah ke belakang Pusat Serenti Karak.


Namun pada hemat saya yang bukan seorang professor, runtuhan tanah dari puncak bukit-bukit berkenaan adalah disebabkan hutan di kawasan dari kaki hingga pertengahan bukit itu yang sudah diteroka sama ada menerusi pembalakan atau pembukaan tanah bagi tujuan pertanian.


Analoginya, bukit itu umpama batu-bata yang disusun berbentuk piramid. Jika batu-bata di bahagian bawah ditarik keluar atau dilompongkan, maka batu-bata yang di atas akan turut jatuh atau puncaknya akan roboh.


Yang pasti, kegelinciran tanah bersama puing kayu dari bukit-bukit berkenaan tidak akan sampai ke Kampung Tanjung yang terletak di sebelah hulu, sebaliknya ia terkumpul di lembah Sungai Semantan berhampiran Stesen Timbang JPJ dan Tanah Perkuburan Hindu Karak dan hanyut ke Lanchang, Mentakab dan berakhir di Kuala Semantan, Temerloh.


Dari Kampung Tanjung saya bergerak ke hulu Sungai Telemong hingga ke Jambatan Seri Telemong berhampiran kuala Sungai Kerau yang menjadi tempat “persinggahan” timbunan sisa kayu luarbiasa yang tidak dapat dipastikan dari mana sebenarnya kerana tinjauan ke hulu Sungai Kerau mendapati tidak banyak kesan kegelinciran tanah kecuali penerokaan hutan secara meluas bagi projek lot dusun dan rumah mewah ratusan hektar di The Valley serta kawasan sekitarnya bagi tujuan pertanian.


Jadi saya mengesyaki timbunan sisa kayu ini dibawa arus deras limpahan air dari hulu Sungai Telemong yang bertembung dengan banjir lumpur dan sisa kayu penerokaan hutan dari hulu Sungai Kerau.


Kemudian saya bergerak lagi ke arah hulu Sungai Telemong hingga ke kawasan pertembungan kuala Sungai Perdak dan Sungai Telemong, yang juga terdapat timbunan sisa kayu luarbiasa di sini.


Di kawasan bukit di belakang Kampung Baru Sungai Perdak hingga Kampung Baru Telemong memang banyak kesan gelinciran tanah akibat pembukaan tanah milik dan penerokaan hutan secara haram bagi tanaman Durian Musang King.


Ketika menbuat tinjauan di kawasan ini, seorang penduduk tempatan Telemong tiba-tiba mendekati saya dan memberitahu:


“Pergi naik lagi ke atas sana (sambil menunjukkan tangan ke arah belakang Pekan Telemong)… di sana ada kawasan pembalakan baru kerja 200 ekar tapi dia orang sudah berhenti kerja… tanah runtuh!… tapi dia orang keluar kayu tak ikut Kampung Baru (Telemong)… dia orang ikut Sungai Gapoi.”


Selepas menerbangkan drone di satu lokasi, saya ternampak timbunan kayu balak dari udara dan apabila ditinjau pula mengikut jalan darat, ternyata ada satu “matau” atau tempat simpanan transit kayu balak (msebelum diangkut dengan lori balak ke Kilang Papan).


Pada pengamatan saya, berdasarkan terdapatnya saiz tongkol balak yang agak besar termasuk spesis Meranti Bukit, saya percaya kayu-kayu ini ditebang dari puncak-puncak bukit hutan tadahan air yang sepatutnya menjadi penampan jika berlaku hujan lebat.


Menurut seorang pencari hasil hutan yang kebetulan lalu di situ, jarak kawasan hutan  pembalakan dari matau itu adalah kira-kira satu jam perjalanan mendaki bukit dengan motosikal atau lori balak “santaiwong.”


Pada mulanya saya bercadang untuk masuk ke kawasan penebangan balak di hutan berkenaan tetapi memandangkan cuaca semakin gelap dan awan mendung yang tebal seakan hujan lebat akan turun segera, maka saya terus berpatah balik ke Pekan Telemong untuk membeli sedikit Durian Musang King sebagai buah tangan buat keluarga sebelum pulang ke rumah.


PERSOALANNYA… adakah pembalakan ini juga ada kaitannya dengan “kepala air” banjir lumpur luarbiasa bersama sisa kayu yang melanda lembangan Sungai Telemong hingga ke Karak pada 18 dan 19 Disember 2021?


Wallahuaklam Bissawab… hanya Allah Yang Maha Mengetahui.


#wartawantua

#alammarhaen